100 kanak-kanak Palestin ke Malaysia

100 kanak-kanak Palestin ke Malaysia
Kanak-kanak Palestin (gambar hiasa). Foto Flickr

Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) akan membawa masuk 100 kanak-kanak Palestin yang tercedera akibat serangan tentera Israel ke negara ini bermula minggu depan.

Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu, mereka akan dibawa secara berperingkat untuk mendapatkan rawatan ekoran kecederaan di perut dan anggota badan lain selepas terkena bedilan senjata rejim zionis.

KP1M sedang bekerjasama dengan beberapa hospital di Mesir untuk menempatkan mereka buat sementara waktu di sana, serta berusaha menyelesaikan proses dokumentasi untuk membolehkan mereka dibawa ke negara ini.

Misi Bantuan Kemanusiaan KP1M ke Gaza KP1M yang diketuai Abdul Azeez bertolak ke Kaherah untuk memasuki Gaza pada 13 Ogos lalu bagi menghantar sebanyak 40 tan bantuan makanan dan perubatan.

Abdul Azeez menasihatkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung dengan Duta Besar Malaysia ke Mesir dan Palestin, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari terlebih dahulu sebelum menghantar bantuan ke Gaza.

Jelasnya, rujukan kepada duta negara itu penting kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Mesir dan Palestin.

“Jangan ambil risiko dengan pergi dengan begitu sahaja kerana takut nanti bantuan itu tidak dapat dibawa masuk dan terbiar begitu sahaja.

“Kerajaan Mesir juga tidak membenarkan mana-mana pertubuhan untuk masuk ke sana secara bersendirian kerana keadaan di Gaza sangat bahaya.

Abdul Azeez berkata, beliau sendiri hanya dapat masuk ke Gaza selepas mendapat bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Prinsip negara ini untuk membantu rakyat termasuk kanak-kanak Palestin tidak akan berubah, kita akan terus menghulurkan bantuan,” katanya dalam laporan Utusan Malaysia.