12 pelan pemulihan Malaysian Airline (MAS)

12 pelan pemulihan Malaysian Airline (MAS)

Pemegang saham utama Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) akan menubuhkan sebuah entiti syarikat penerbangan baharu yang akan diperkenalkan pada Julai 2015, menggantikan syarikat MAS sedia ada.

MAS sedia ada yang digelar sebagai OldCo bakal dinyahsenaraikan pada penghujung tahun ini, dan digantikan dengan MAS baharu (NewCo) yang disasarkan mencatatkan keuntungan dalam tempoh tiga tahun selepas OldCo dinyahsenaraikan.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, NewCo akan senaraikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun iaitu antara hujung 2017 hingga 2019 dan jika MAS baharu berjaya mencapai semua sasaran keuntungan yang ditetapkan, Khazanah akan melepaskan semua atau separuh pegangannya di dalam NewCo.

Katanya lagi, Khazanah akan membelanjakan RM6 bilion bagi penstrukturan semula MAS dengan separuh daripadanya akan digunakan sebagai modal permulaan untuk pembentukan NewCo dan selebihnya iaitu RM1.4 bilion dibelanjakan untuk menyahsenaraikan OldCo dan RM1.6 bilion lagi bagi tujuan pemberhentian pekerja dan pembatalan kontrak-kontrak pembekalan oleh vendor.

“Khazanah perlu mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi tujuan ini (RM6 bilion). Bagaimanapun langkah ini perlu bagi memastikan kerugian berterusan dapat dipulihkan. Jika kesemua berjaya, kita boleh mendapat pulangan semula daripada pelaburan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar Khazanah mengenai penstrukturan MAS, di Kuala Lumpur semalam.

Rancangan yang diumumkan itu merupakan antara kandungan daripada 12 pelan yang ditetapkan oleh Khazanah bagi memulihkan MAS. Antara kandungan lain ialah pemberhentian 6,000 pekerja daripada 20,000 keseluruhan pekerja MAS ketika in dengan baki 14,000 pekerja dan aset-aset sedia ada akan dipindah milik kepada NewCo.

Antara usaha lain yang dibuat ialah latihan semula pekerja sedia ada, pemindahan ibu pejabat MAS dari Subang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NewCo pada penghujung tahun ini.

Pada masa sama, CEO MAS sedia ada, Ahmad Jauhari Yahya akan dikekalkan sehingga 1 Julai 2015.

Tambah Azman lagi, pelantikan CEO baharu akan dimulakan dan terbuka dalam kalangan rakyat tempatan atau warga asing yang berpengalaman dalam industri penerbangan antarabangsa.

Katanya, langkah memperkenalkan entiti baharu adalah keperluan memandangkan terdapatnya isu-isu legasi yang sukar diselesaikan di dalam MAS sedia ada.

“Pembentukan entiti baharu lebih mudah untuk melaksanakan peraturan baharu, sekali gus menyelesaikan terus isu-isu legasi yang meningkatkan kos operasi MAS. Ketika ini, struktur kos yang ditanggung oleh MAS ialah 40 peratus lebih tinggi daripada pesaing lain,” katanya.

Kata beliau lagi, MAS sedia ada perlu dinyahsenaraikan memandangkan syarikat itu tidak menunjukkan prestasi yang baik, tidak sesuai untuk dikekalkan di dalam Bursa Malaysia bagi memenuhi piawaian ketat sebagai sebuah syarikat tersenarai.

“Namun, selepas itu syarikat penerbangan baharu tersebut perlu disenaraikan kerana Khazanah percaya melalui penyenaraian sahaja, syarikat akan ditadbir dengan lebih baik dan telus,” kata beliau.

Beliau bagaimana menyatakan usaha pemulihan MAS kali ini berbeza sewaktu syarikat itu diambil alih kerajaan pada 2001, kerana pada kali ini tindakan yang diambil adalah secara besar-besar membabitkan penstrukturan kontrak dan sokongan perundangan.

Mengenai nama rasmi NewCo, Azman menjelaskan tiada lagi ketetapan yang dibuat, namun menyatakan Khazanah masih mahu mengekalkan jenama Malaysia Airlines. – Utusan Malaysia