200,000 penduduk Gaza hilang pekerjaan

200,000 penduduk Gaza hilang pekerjaan

Lebih 200,000 penduduk Gaza hilang pekerjaan dan kini menganggur sejak sekatan ke atas wilayah itu dikuatkuasakan lapan tahun lalu dan serangan ke atas Genting Gaza oleh Israel baru-baru ini.

Agensi berita Anadolu melaporkan, Persekutuan Buruh Palestin mendedahkan, sebanyak 30,000 orang penduduk Gaza kehilangan pekerjaan ekoran serangan Israel baru-baru ini selepas sejumlah kilang, kedai dan syarikat perniagaan musnah.

“Sebanyak 170,000 orang pula tidak bekerja sejak sekatan dikenakan oleh Israel sebelum ini. Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 330,000 tenaga kerja Palestin di Gaza,” jelas pertubuhan itu dalam satu kenyataan.

Ketua Persatuan Ahli Perniagaan Palestin, Ali al-Hayek berkata, sebanyak 450 buah kilang musnah dan 500 kilang lagi rosak sejak serangan terbaharu Israel bulan lalu.

Setakat ini, lebih 38,086 bangunan awam termasuk rumah, pejabat kerajaan, sekolah, masjid dan tanah perkuburan musnah atau rosak dalam serangan berkenaan.

Lebih 2,000 penduduk Gaza rakyat Palestin turut terbunuh dan lebih 10,000 orang cedera dalam serangan itu.