3 masjid sumbangan Malaysia di Gaza musnah dibom

3 masjid sumbangan Malaysia di Gaza musnah dibom
Masjid Nasr di Gaza sewaktu dalam proses pembinaan semula beberapa tahun lepas.

Sebanyak tiga daripada sembilan masjid sumbangan Malaysia di Gaza musnah akibat dibedil roket tentera Israel dalam beberapa siri serangan, baru-baru ini.

Kemusnahan ketiga-tiga masjid tersebut iaitu Masjid Umar Abdul Aziz, Masjid Nasr dan Surau Solah Syahadah menyebabkan kerugian RM3 juta.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, ketiga-tiga masjid itu dibina menggunakan kutipan dana daripada rakyat Malaysia menerusi kempen kemanusiaan oleh MAPIM.

“Kejadian bermula dengan kemusnahan Surau Solah Syahadah yang dibom dengan roket tentera Israel, kemudian diikuti oleh Masjid Nasr dan yang terbaharu iaitu pada 24 Ogos lalu, kira-kira pukul 11.40 malam waktu tempatan, Masjid Umar Abdul Aziz pula hancur dibedil.

“Sejak 2008 hingga 2014, sebanyak 190 masjid di seluruh Gaza musnah akibat diserang Israel dan lebih 70 daripadanya rosak teruk,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pemusnahan masjid sumbangan Malaysia di Gaza, di sini semalam.

Sehubungan itu, MAPIM mengutuk keras serangan tentera Zionis ke atas tempat-tempat ibadat khususnya masjid yang disifatkannya sebagai tidak bertamadun. – Utusan Malaysia