Aliran trafik jambatan Pulau Pinang henti seminit

Aliran trafik jambatan Pulau Pinang henti seminit
Pengguna jambatan Pulau Pinang bertafakur seketika sempena memperingati mangsa MH17. Foto Twitter ‏@bernamadotcom

Kenderan-kenderan yang melalui plaza tol Jambatan Pulau Pinang dihentikan  selama seminit untuk bertafakur memperingati mangsa tragedi MH17.

Semua pemandu didapati memberi kerjasama yang baik dengan memberhentikan kenderaan mereka untuk bertafakur.

Walaupun berlaku kesesakan hampir tiga kilometer di laluan masuk ke Jambatan Pulau Pinang dari arah seberang ke pulau, namun tiada seorang pun pemandu membunyikan hon.

Keadaan sama dapat dilihat di Jambatan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah apabila semua kenderaan berhenti di Plaza Tol Batu Maung.

Di terminal feri pula, para penumpang Feri Pulau Rimau dan Pulau Undan di kedua-dua arah tanah besar dan George Town turut bertafakur selama seminit.

Pegawai Perhubungan Awam Penang Port Khairol Ikram Salamat berkata pengumuman memaklumkan waktu bertafakur dijalankan serentak dan siren turut dibunyikan di atas semua feri yang beroperasi hari ini, sebelum semua penumpang berdiri serta berdoa mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Penumpang yang menaiki feri bersama kenderaan turut dilihat keluar dan berdiri di sisi kenderaan mereka sebagai tanda solidariti memperingati nahas itu.

Terdahulu, di ruang legar tingkat bawah Komtar, bangunan yang menempatkan pejabat kerajaan negeri dan persekutuan di sini, kira-kira 400 orang daripada pelbagai kaum berkumpul untuk bertafakur.