Bas elektrik Melaka beroperasi Disember

Bas elektrik Melaka beroperasi Disember

Syarikat Panorama Melaka akan mencipta sejarah lagi Disember ini apabila bakal memulakan perkhidmatan bas elektrik Melaka selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai status Bandar Raya Teknologi Hijau.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Pemulihan Projek negeri, Lim Ban Hong berkata, pada peringkat permulaan, sebanyak lima buah bas elektrik bakal memulakan operasi di bawah seliaan Panorama Melaka Sdn. Bhd. (Panorama Melaka).

Menurutnya, kesemua lima buah bas berkenaan bakal digunakan untuk laluan yang mempunyai permintaan tinggi, sekitar kawasan warisan dunia serta tumpuan pelancong di Banda Hilir.

“Bas ini kemudiannya akan ditambah secara berperingkat-peringkat pada masa akan datang, bersesuaian dengan permintaan dan keberkesanannya terhadap meningkatkan mutu alam sekitar,” katanya.

Bas elektrik Melaka juga dijangka akan memanfaatkan sistem pembayaran elektronik memandangkan Panorama Melaka sedang merancang untuk menambah baik sistem pembayaran tiket menggunakan sistem kad tanpa tunai bagi bas-bas milik syarikatnya.

Pada masa kini semua 62 bas milik Panorama Melaka masih menggunakan sistem pembayaran tunai yang menyebabkan berlaku kelewatan semasa proses membayar tiket.

Penggunaan sistem kad tanpa tunai diharap dapat membantu menyelesaikan masalah kelewatan serta memudahkan lagi pembayaran, terutamanya bagi mereka yang kerap menggunakan perkhidmatan bas.

Pada peringkat permulaan, sistem kad tanpa tunai itu akan digunakan di tempat tumpuan orang ramai termasuk di sekitar bandar raya dan kawasan warisan dunia.

Manakala di kawasan laluan desa, sistem pembayaran tiket tunai kasih dikekalkan bagi mengelak berlaku masalah bagi pengguna yang jarang menggunakan perkhidmatan bayaran elektronik.

Add your annotation