Kena tunggu 60 tahun jika hendak tunai haji

Kena tunggu 60 tahun jika hendak tunai haji

Bakal jemaah haji Malaysia terpaksa menunggu tempoh giliran sehingga 60 tahun untuk menunaikan ibadah tersebut jika mereka mendaftar pada hari ini berdasarkan 1,508,719 jemaah haji yang telah memohon untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, angka itu berdasarkan kuota haji rasmi negara ini yang diperoleh daripada Kerajaan Arab Saudi sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk iaitu sekitar 22,320, setelah ia dikurangkan 20 peratus sejak 2013.

“Tempoh untuk para bakal jemaah haji dari negara ini untuk menunaikan haji akan menjadi 60 tahun kalau mereka mendaftar hari ini. Setakat ini 1.5 juta telah mendaftar tetapi setiap tahun kita hanya mampu menghantar sekitar 22,000 jemaah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa majlis keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah untuk mengucapkan selamat jalan kepada 279 jemaah haji di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya semalam.

Menurut Jamil Khir, daripada kuota sebelum ini, 27,900 jemaah berpeluang mengerjakan haji dan ia dikurangkan 20 peratus atau 5,580 jemaah menjadi 22,320 pada 2013 bagi mengelakkan kesesakan ekoran pengubahsuaian di Masjidil Haram ketika ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, 70,000 rayuan telah dikemukakan oleh para bakal jemaah kepada pihaknya agar dipercepatkan giliran.

“Antaranya, ada jemaah lelaki yang memohon mengerjakan haji bersama-sama isteri dengan alasan sebelum ini mereka pergi haji sendirian tetapi kali ini isteri memerlukan muhrim kerana kali pertama mengerjakan haji.

“Ramai jemaah yang kecil hati, malah marah dengan Tabung Haji. Kita akan kaji masalah ini, antaranya melihat latar belakang jemaah, contohnya keutamaan diberi kepada yang belum pernah mengerjakan haji atau berusia lebih 65 tahun.

“Masalah timbul kerana kuota dari Kerajaan Arab Saudi berdasarkan kepada bilangan rakyat Malaysia. Kita akan semak semula berapakah jumlah rakyat kita, kalau ia mencecah 30 juta maka kita mungkin layak menghantar 30,000 jemaah pada setiap tahun,” ujarnya.

Kata Abdul Azeez, kerajaan sentiasa berhubung dan berunding dengan Kerajaan Arab Saudi dari semasa ke semasa agar jumlah kuota yang telah ditetapkan itu dapat ditambah pada masa depan demi menampung bilangan jemaah yang kini sedang menunggu giliran.

Tambahnya, Tabung Haji tiada masalah menampung dan menguruskan bilangan jemaah haji yang ramai kerana terdapat 1,200 petugas di bahagian Operasi Haji Tanah Air, 315 petugas kebajikan dan 250 petugas perubatan bagi melicinkan segala urusan terbabit.

“Tabung Haji berkemampuan menguruskan jemaah haji sehingga 40,000 orang setahun. Kita juga tiada masalah untuk menyediakan kemudahan hotel di Madinah dan Mekah untuk para jemaah kita kerana ia telah diuruskan dengan baik,” katanya. – Utusan Malaysia