Lelaki maut ditembak di dalam masjid

Lelaki maut ditembak di dalam masjid
Pihak berkuasa mengeluarkan mayat mangsa yang ditembak dalam masjid. Foto Mail Online

Seorang lelaki beragama Islam maut selepas ditembak di dalam masjid oleh seorang lelaki bersenjata di Zurich, Switzerland, ketika dia sedang mengerjakan solat Jumaat.

Mail Online melaporkan, pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian di pinggir bandar St Gallen, berjaya menahan suspek sejurus selepas kejadian.

Ketika ditemui suspek sedang memegang selaras senapang, manakala mayat mangsa ditemui di dalam bilik di masjid El-Hidaje.

Kira-kira 300 orang jemaah berada di masjid itu ketika kejadian berlaku.

Polis menerima panggilan telefon tentang kejadian tembakan tersebut pada kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).

Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan tiada kaitan dengan jenayah kebencian terhadap penduduk Islam, sebaliknya mungkin disebabkan oleh persengketaan keluarga.

Masjid El-Hidaje yang boleh menempatkan kira-kira 350 jemaah dalam satu-satu masa sering menjadi tumpuan penduduk berbangsa Albania untuk mengerjakan solat.