Motorsikal elektrik polis untuk jimat kos operasi

Motorsikal elektrik polis untuk jimat kos operasi
Adakah motorsikal elektrik Eclimo keluaran syarikat tempatan inikah yang akan digunakan oleh pasukan Polis? Gambar Hiasan

Pasukan Polis dijangka akan menggunakan 30 motosikal elektrik awal Oktober depan untuk kegunaan di sekitar ibu kota dalam usaha mengurangkan kos penggunaan bahan api.

Pengarah Jabatan Logistik Polis Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata selain motosikal elektrik, polis juga bercadang untuk menggunakan kereta peronda hibrid di seluruh negara.

“Penggunaan enjin hibrid itu dijangka dapat menjimatkan 35 peratus daripada kos penggunaan bahan api, selain dapat memelihara alam sekitar dan mengurangkan kadar pelepasan karbon sehingga 30 peratus daripada penggunaan biasa,” katanya dalam laporan Bernama yang disiarkan BH Online.

Bagaimanapun, penggunaan kedua-dua kenderaan hibrid dan motorsikal elektrik polis itu masih dalam peringkat kajian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ‘My Hijau Youth Camp’ anjuran bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Malaysian Green Technology Corporation, di Hulu Langat hari ini.