Pengantin separuh bogel gemparkan Ipoh

Pengantin separuh bogel gemparkan Ipoh
Gambar pengantin separuh bogel yang dikongsi di laman sosial.

Belum reda isu pesta sukan bogel di Pulau Pinang yang menggemparkan negara, orang ramai di bandar raya Ipoh gempar dengan pasangan pengantin separuh bogel yang bersiar-siar di sekitar Jalan Sultan Yussof.

Berita Harian melaporkan aksi mereka mendapat perhatian orang ramai yang ketika itu sedang sibuk melalui jalan berkenaan selepas pasangan pengantin itu dikatakan baru selesai menjalani sesi fotografi.

Wanita berkenaan dilihat hanya memakai coli dan seluar dalam berwarna putih dan berkain layah manakala pasangan lelaki hanya memakai seluar panjang hitam tanpa baju.

Gambar pasangan terbabit yang dirakam seorang pengguna Facebook dipercayai diambil di hadapan laluan zebra sebuah bank berhampiran Padang Ipoh kini sudah tersebar dan dikongsi ribuan pengguna Facebook lain.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq berkata, arahan sudah dikeluarkan kepada Ketua Polis Balai dan anggota, jika terserempak dengan mana-mana perlakuan tidak bermoral dan berakhlak, mereka boleh menggunakan pendekatan menasihati atau meminta perlakuan itu dihentikan serta-merta

Bagaimanapun berhubung kejadian pengantin separuh bogel itu, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan.

Seorang saksi berkata, rakaman sesi fotografi itu dipercayai berlangsung kira-kira 10 minit.

“Ia menarik minat pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan kerana mereka berpakaian tidak senonoh,” katanya.

Ketua Polis negeri, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan kesalahan yang mencolok mata itu akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.