Tiga sekolah di Melaka tutup akibat banjir kilat

Tiga sekolah di Melaka tutup akibat banjir kilat

Hujan lebat dengan tidak henti selama lima jam di sejumlah kawasan di tiga daerah di Melaka malam tadi mengakibatkan tiga buah sekolah terpaksa ditutup ekoran dilanda banjir kilat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, penutupan itu melibatkan dua sekolah menengah di daerah Melaka Tengah iaitu Sekolah Tinggi Perempuan Melaka serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Teja dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai di Jasin.

Menurut beliau, sekolah berkenaan terpaksa ditutup akibat kenaikan paras air setinggi 0.6 meter bagi menjamin keselamatan para pelajar.

“Daerah Jasin merupakan antara kawasan yang sangat banyak terjejas dilanda banjir kilat iaitu melibatkan lebih 800 buah keluarga dengan 3,000 orang mangsa di sejumlah kampung antaranya Umbai, Serkam, Tedong, Merlimau serta Sungai Rambai.

“Empat bilik gerakan banjir sudahpun dibuka di daerah ini antaranya SMK Sri Mahkota, SMK Dang Anum di Umbai serta SK Datuk Haji Baginda di Umbai dan SK Sempang di Merlimau,” katanya.

Beliau turut melawat ke Japerun Serkam bagi mendengar taklimat mengenai banjir kilat yang melanda.

Orang ramai yang tinggal di kawasan berisiko dilanda banjir dinasihatkan agar setiap masa peka dengan perkembangan serta arahan yang diberikan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tak diingini terjadi.

Tidak ada pemindahan serta kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.