Tinggalkan suami kerana rumah tiada tandas
Enam orang wanita di Uttar Pradesh, India yang baru setahun berkahwin, bertindak tinggalkan suami masing-masing dan pulang ke rumah ibu bapa mereka disebabkan rumai suami tidak mempunyai kemudahan tandas.
Agensi berita, BBC melaporkan, kesemua wanita dari perkampungan Khesiya di daerah Kushinagar itu kembali ke rumah ibu bapa selepas suami mereka tidak menyediakan tandas di kediaman masing-masing.
Hampir separuh daripada 1.2 bilion rakyat India tidak mempunyai tandas di rumah dan golongan wanita sering menderita disebabkan masalah itu.
Keadaan itu juga menyebabkan kaum wanita terdedah kepada jenayah rogol yang berleluasa di India.
Seorang daripada pengantin baharu, Gudiya berkata, dia berasa sukar untuk melepaskan hajat di kawasan terbuka disebabkan rumah suaminya tidak mempunyai tandas.
“Ibu bapa saya mempunyai tandas di rumah, tetapi rumah suami saya, Ramesh Sharma tidak mempunyai kemudahan itu.
“Saya tidak suka keluar rumah untuk membuang air. Ini menyebabkan saya bergaduh dengan suami dan kembali ke rumah ibu bapa saya,” katanya.
Selain Gudiya, Neelam Sharma, Sakina, Seeta, Nazrum Nisa dan Kalavati turut tinggalkan suami atas alasan sama.
Menurut Ashima Parveen yang tinggal di Khesiya, kesemua enam wanita itu berkahwin pada tahun lalu.
“Di kampung, mereka sukar untuk keluar ke kawasan terbuka untuk membuang air kerana musim hujan yang menyebabkan tanah lecak,” katanya.