Tujuh kereta rosak dihempap bumbung runtuh

Tujuh kereta rosak dihempap bumbung runtuh

Tujuh buah kereta rosak dihempap bumbung setelah diletakkan di hadapan sebuah bangunan panggung wayang lama di Jalan Anston, di Bukit Mertajam ekoran bumbung kaki lima premis di situ  runtuh hari ini.

Antara kenderaan yang mengalami kerosakan akibat kejadian ketika hujan lebat pada jam 2.45 petang itu ialah Proton Saga BLM, Toyota Vios, Perodua Myvi, Perodua Viva dan Hyundai.

Jurucakap bomba dan penyelamat Bukit Mertajam berkata kejadian itu turut menyebabkan seorang wanita yang berniaga apam balik di sebelah bangunan itu cedera ringan akibat terkena serpihan runtuhan.

Wanita berusia 60-an itu dihantar ke Hospital Bukit Mertajam.

Seorang daripada pemilik kereta yang rosak  yang hanya mahu dikenali sebagai Azman berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas diberitahu oleh seorang rakan.

“Saya meletakkan kereta di situ sejak pagi kerana bermesyuarat di sebuah pejabat di kawasan itu.

“Memang ada terdengar bunyi dentuman kuat seperti kemalangan jalan raya dan tidak sangka pula kereta saya yang kena,” kata pemilik kereta Proton Saga BLM itu.

Sementara itu, T. Veerappen, 60, yang berniaga roti banggali tidak jauh dari tempat itu berkata, beliau mendengar satu dentuman yang kuat.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas, apabila saya menoleh ke arah situ selepas bunyi dentuman kuat, saya tengok semua kereta yang diparkir sudah dihempap bumbung itu,” katanya kepada pemberita di sini.

sumber: BERNAMA/bharian