Bagaimana Wahid Satay mendapat gelaran Jerry Lewis Malaysia

Bagaimana Wahid Satay mendapat gelaran Jerry Lewis Malaysia

Pada tahun 1957, pengarah filem B. N. Rao mencari seorang pelawak untuk diberikan satu watak dalam filem berjudul Pontianak yang bakal beliau arahkan. Filem terbitan Cathay Keris itu mengenai ketakutan penduduk sebuah kampung yang sering diganggu pontianak. Antara pelakon utamanya ialah Maria Menado, Mustapha Ma’arof dan Salma Ahmad.

Pelawak yang B. N. Rao cari itu akan melakonkan watak penjual sate. Selepas mendapat pelbagai pandangan, akhirnya B. N. Rao memilih seorang pelakon baru bernama Abdul Wahid Ahmad. Ini kerana Wahid dikenali di studio berkenaan seorang yang gemar membuat orang sekelilingnya ketawa dengan gelagat serta cerita-cerita lucunya. Kalau ada Wahid, pasti studio akan riuh rendah dengan gelak ketawa.

Wahid sebenarnya baru sahaja bekerja di Cathay-Keris Film, Singapura, pada akhir 1956. Asalnya beliau bekerja sebagai pelukis set di studio Cathay-Keris Jalan East Coast.

Walaupun minat Wahid adalah melukis, tapi studio berkenaan selalu mempelawanya menjadi pelakon tambahan dalam filem-filem yang diterbitkan. Yang pertama ialah filem Pertaruhan. Ada yang dengan dialog, ada juga tanpa dialog. Upahnya berbeza.

Ternyata pemilihan Wahid itu keputusan yang tepat. Tanpa diduga filem Pontianak mendapat sambutan yang cukup hebat dan watak penjual sate menjadi sebutan ramai. Gelagat lucu Wahid telah menghidupkan filem berkenaan, panggung riuh dengan gelak ketawa.

Pemilik Cathay-Keris, Ho Ah Loke gembira dengan kejayaan itu. Tiga bulan selepas tayangan filem Pontianak, Ah Loke telah menukar nama Wahid menjadi `Wahid Satay’. Sejak itulah beliau dikenali dengan nama tersebut.

Seiring dengan itu juga jawatan Wahid sebagai Penolong Pelukis telah ditukar menjadi pelakon sepenuh masa dengan kontrak selama tiga tahun. Gaji bulanannya bertambah, berserta bonus.

Siapa Wahid Satay?

Wahid dilahirkan di Inderagiri, Indonesia pada 1935. Beliau kemudian mengikut keluarganya berpindah ke Singapura dan ketika berusia 19 tahun bekerja sebagai kelasi kapal. Selama 16 tahun bekerja di atas kapal, Wahid telah belayar keliling dunia dan singgah di pelbagai kota besar seperti New York, Hawaii dan London.

Suatu hari ketika kapalnya tidak belayar, Wahid telah berjumpa dengan rakannya bernama Rahmat yang hendak berhenti daripada bekerja sambilan melukis set di studio Keris Filem. Rahmat memperkenalkan Wahid kepada pihak pengurusan untuk menggantikan tempatnya. Ini kerana Wahid sememangnya pandai melukis.

Dari situlah bermulanya penglibatan Wahid Satay sebagai pelakon filem, sekali gus meninggalkan kerjanya sebagai kelasi kapal. Bintang Wahid makin bersinar selepas fiem Pontianak. Beliau membintangi filem demi filem dengan membawa watak-watak penting. Kebanyakannya watak lucu. Kelucuan semula jadi dan kejayaannya membawa watak yang diberikan itu menyebabkan Wahid Satay digelar Jerry Lewis Malaysia.

Selain boleh berlakon, ramai yang tidak tahu Wahid Satay boleh meniru suara binatang. Justeru suara beliau telah digunakan dalam dubbing untuk bunyi suara burung, ayam, kambing dan sebagainya. Apabila suara dubbing itu dimainkan semula, ramai yang menyangka itu adalah suara haiwan di zoo.

Selain itu, Wahid juga pandai menyanyi, terutama langgam, asli dan keroncong. Begitu juga lagu-lagu lucu dengan menggayakan dialek pelbagai kaum seperti Cina, India, Inggeris dan Sepanyol. Wahid menyanyi dalam filem Pontianak dan Che Mamat Parang Tumpol.

Siapakah pasangan pelakon yang paling Wahid senang bekerja? Adakah Latifah Omar, Salma Ahmad, Kasma Booty atau Roseyatimah?

Jawapannya, Wahid boleh bekerja dengan sesiapa saja, tetapi pelakon-pelakon itu yang menghadapi kesulitan berlakon dengannya kerana tidak tahan hendak ketawa melihat perwatakan lucunya. Seniwati-seniwati ini asyik tergelak sepanjang penggambaran.

Dalam filem Badang misalnya, seniwati Roseyatimah sukar hendak menahan ketawanya sepanjang penggambaran bersama Wahid. Ini menyebabkan Wahid Satay sukar untuk mendapat pasangan heroinnya, sehinggalah dalam filem Gila Talak apabila digandingkan dengan Aini Jasmin. Itulah pasangan Wahid yang paling ideal.

Sumber: UtusanTV