Kalimah Allah: Bahas secara terbuka boleh kelirukan umat Islam – Anwar

Kalimah Allah: Bahas secara terbuka boleh kelirukan umat Islam – Anwar

ISU kalimah Allah tidak wajar diperdebatkan secara terbuka sehingga boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, isu tersebut beberapa kali dijelaskan termasuk di dalam Parlimen mengenai penggunaan kalimah Allah yang dikhaskan kepada umat Islam di Semenanjung Malaysia.

Anwar berkata, isu itu juga telah dirujuk kepada mufti-mufti serta Raja-Raja Melayu dengan mengambil ketetapan supaya aman dan tidak berpecah belah dalam soal tersebut.

“Maksudnya, umat Islam dalam Semenanjung Tanah Melayu sahaja boleh gunakan kalimah Allah untuk mengelak kekeliruan dan masalah dakyah agama lain. Maka agama lain tidak diizinkan.

“Kemudian untuk Sabah dan Sarawak, ada sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat supaya tidak timbul kekeliruan.

“(Kalimah Allah) boleh dibahas, tetapi dalam majlis tertutup, tidak patut mengelirukan umat. Tetapi kita masih dituduh menggadai dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya pada Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turatih Islami Selangor di Shah Alam, hari ini.

Minggu lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Notis pemberhentian tersebut telah difailkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 18 April lalu yang seterusnya mendapat pelbagai tentangan pelbagai pihak.

Sumber: MalaysiaPost