Kerajaan tetap had masa keberadaan pelarian Rohingya, pemohon suaka
KERAJAAN akan menetapkan suatu had bagi tempoh masa keberadaan pelarian termasuk golongan Rohingya dan pemohon suaka dalam negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan melalui platform pasukan petugas bersama Malaysia – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) telah meminta suruhanjaya tersebut mempercepat proses penempatan pelarian.
Kata beliau, ia termasuk penempatan ke negara ketiga atau pulang ke negara asal yang membolehkan pelarian pulang.
Justeru, Armizan berkata, pihak UNHCR dan Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) digesa untuk memberikan lebih kerjasama dan mempertingkatkan komitmen mereka.
“Mereka juga digesa berusaha mempertingkatkan kadar penempatan semula golongan ini ke negara ketiga atau pulang ke negara asal,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN- Kepala Batas) yang ingin mengetahui dasar kerajaan terhadap pelarian Rohingya dan tempoh kependudukan pelarian yang mempunyai kad UNHCR.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, kerajaan secara prinsip tidak menghalang mana-mana orang perseorangan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat serta mana-mana organisasi tempatan dan antarbaangsa untuk melaksanakan bantuan kebajikan kepada pelarian.
Sebagai contoh, beliau berkata, golongan pelarian ini juga boleh mendapatkan rawatan di lima klinik-klinik statik melalui Program Bantuan Kemanusiaan kepada Pelarian dengan menggunakan peruntukan Dana Qatar untuk Pembangunan (QFFD) sumbangan kerajaan Qatar.
Jelas Armizan, dasar-dasar sedia ada negara ke atas pelarian yang memegang kad UNHCR termasuk etnik Rohingya adalah mereka bebas bergerak dan tidak ditahan melainkan terlibat dengan aktiviti melanggar undang-undang.
Namun begitu, beliau memaklumkan, pelarian ini hanya dibenarkan untuk berada di Semenanjung kerana kad UNHCR bukan dokumen perjalanan yang sah.
Pada masa sama, katanya, pelarian termasuk etnik Rohingya juga diberi akses kepada perkhidmatan kesihatan di hospital atau klinik kerajaan dengan ditanggung sebanyak 50 peratus; akses kemudahan pendidikan di sekolah swasta dan bekerja dalam sektor tidak formal.
“Walau bagaimanapun, dasar kerajaan terhadap golongan ini bukanlah suatu hak yang mutlak.
“Kerajaan telah menetapkan pendirian untuk tidak menjadi negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967.
“Justeru, sebarang bantuan yang diberi adalah bersifat kemanusiaan dan berdasarkan case by case basis selaras dengan perundangan, peraturan dan dasar yang berkuat kuasa,” katanya.
UtusanTV dalam laporan khas empat siri Februari melaporkan kerisauan orang ramai tentang peningkatan jumlah Rohingya terutama di Melaka.
Malah, perkara itu dibawa sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang mahu tindakan segera diambil bagi memastikan isu tersebut dapat ditangani.
Tanpa mengetepikan isu kemanusiaan, Mohd Noor Helmy menegaskan, sikap dan tindak tanduk kebanyakan etnik Rohingya terutama di Jalan Pulau Senang 3, Semabok itu sudah semakin melampau.
Sumber: UtusanTV