Subsidi haji, elektrik ditarik balik untuk golongan T20
KUALA LUMPUR – Golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak akan lagi menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik mahupun untuk menunaikan haji di Mekah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem penyelarasan data iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini akan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang sepatutnya layak.
“Kita tidak naikkan kadar elektrik melainkan kepada golongan T20. Untuk T20 sahaja iaitu rumah besar, tidak akan diberi subsidi elektrik dan pangkalan data utama PADU akan dapat selaraskan semua.
“Bantuan kewangan haji kepada B40 kita akan tambah, tetapi kepada golongan T20 tidak ada lagi tambahan dan subsidi dari kerajaan selepas ini dan mereka harus tanggung kos sepenuhnya haji kerana mereka mampu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang ingin tahu dasar-dasar baharu dan drastik yang sudah dilaksanakan sejak memimpin Malaysia bagi melonjakkan ekonomi negara, dengan mengambil kira risiko penguncupan ekonomi dunia.
Tambah Ahli Parlimen Tambun itu lagi, langkah pengecualian dua subsidi berkenaan diperkenal kerajaannya bagi melaksana pemberian subsidi yang lebih bersasar.
“Pelarasan tarif elektrik bagi separuh tahun pertama 2023 dibuat dengan mengekalkan tarif bagi golongan isi rumah, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengeluar pertanian, tetapi mengurangkan subsidi yang diberikan kepada syarikat pengguna elektrik terbesar.
“Pelaksanaan program ini juga akan dimanfaatkan melalui pembangunan PADU yang menjadi sumber rujukan yang sahih untuk memilih penerima yang layak menerima bantuan yang sesuai dengan keperluan,” jelasnya.
Sumber : KOSMO! Online