Kerajaan N.Sembilan suntik nafas baharu dalam sukan snuker

Kerajaan N.Sembilan suntik nafas baharu dalam sukan snuker

Kerajaan Negeri Sembilan sedia memberikan bantuan yang sebaiknya terhadap pembangunan sukan snuker di negeri itu agar sukan tersebut terus berkembang di masa akan datang.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sukan snuker yang lazimnya dipandang negatif di kalangan masyarakat negara ini mampu diubah dengan penyediaan akademi yang tersusun.

“Bagi saya, ini merupakan satu pendedahan baharu, dulu kalau nama snuker itu, ia negatif di sisi masyarakat terutama kalangan Melayu tetapi apabila saya melihat akademi ini(DJ Snooker Academy), ia merupakan akademi biasa yang hebat, ada kemudahan yang baik dan dijaga dengan disiplin yang tinggi dan saya yakin jika akademi ini dijaga dengan baik kita mampu melahirkan lebih ramai atlet snuker yang berjaya.

“Saya lihat ini adalah potensi yang baik yang boleh kita kembangkan pada masa akan datang. Seperti yang saya katakan tadi persepsi (negatif) itu boleh berubah apabila kita berada di sini. Jadi, kalau ianya disusun dengan baik, saya yakin kerajaan negeri akan memberikan bantuan yang baik untuk membangunkan akademi (snuker) untuk anak-anak kita,” katanya selepas merasmikan acara penutup Kejohanan Snuker Piala Menteri Besar Negeri Sembilan di DJ Snooker Academy, Seremban pada Ahad.

Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu juga, beliau tidak menyangka bahawa akademi snuker merupakan salah satu tempat kegemaran bagi anak-anak muda berkumpul untuk mengasah dan mengembangkan minat dan bakat mereka.

Sementara itu, kejohanan snuker piala Menteri Besar yang julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Negeri Sembilan itu bertujuan untuk mendekati golongan muda yang meminati sukan bertaraf antarabangsa berkenaan, namun sering kali dianggap negatif dalam masyarakat.

Pengerusinya Mohd Irfan Aminuddin berkata, sudah tiba masanya sukan snuker ini diberi perhatian yang sepatutnya oleh kerajaan sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri untuk memajukan dan mengembangkan lagi sukan tersebut.

“Seiring dengan peredaran waktu, sudah sampai masanya sukan snuker diberi perhatian oleh pihak kerajaan sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri agar sukan ini setaraf dengan sukan-sukan yang lain.

“Meskipun sukan snuker kurang popular di kalangan masyarakat, tetapi setidaknya sukan ini berjaya menyumbang dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Kemboja baru-baru ini,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, kejohanan snuker piala Menteri Besar yang pertama kali diadakan itu turut mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

 

Kejohanan yang berlangsung selama empat hari itu melibatkan seramai 128 orang peserta daripada lapan Parlimen, yang berlangsung DJ Snooker Academy, Seremban yang juga merupakan penganjur bersama kejohanan berkenaan.

Ia telah dimenangi oleh Mohd Muzammil dari Kelab O’O Seremban menewaskan Hafizul Nain Nasir mewakili DJ Snooker Academy dengan kemenangan empat daripada tujuh pusingan pada perlawanan akhir.

Pemenang membawa pulang hadiah kemenangan berbentuk wang tunai berjumlah RM7000.00.