An-Nikmah School Cooperative terima sumbangan RM30,000 daripada Yayasan Infaq ANGKASA

An-Nikmah School Cooperative terima sumbangan RM30,000 daripada Yayasan Infaq ANGKASA

Sebuah koperasi sekolah di Kemboja, An-Nikmah School Cooperative, telah menerima sumbangan berjumlah RM30,000.00 daripada ANGKASA melalui Yayasan Infaq ANGKASA dalam satu majlis di Khan Ressey Keo, Phnom Penh, Kemboja pada 17 Januari 2024.

Sumbangan tersebut merangkumi sebuah kontena, modal permulaan, pengubahsuaian kedai runcit, peralatan kedai seperti peti sejuk beku dan pembelian stok barangan.

Presiden ANGKASA yang merupakan pengasas Yayasan Infaq ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sumbangan itu bertujuan untuk membantu menggerakkan perniagaan koperasi sekolah tersebut supaya dapat menjana pendapatan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan pelajar dan komuniti setempat khususnya umat Islam di sekitar daerah berkenaan.

Pada majlis yang sama, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah juga telah merasmikan kedai runcit yang baru beroperasi milik koperasi tersebut.

“ANGKASA percaya dengan penubuhan koperasi sekolah ini mampu memperluaskan peranan sekolah, bukan hanya sebagai tempat mempelajari ilmu agama, tetapi sebagai tempat untuk menyatu dan membangunkan ekonomi komuniti Muslim tempatan,” ujar beliau.

Beliau turut menggalakkan barisan kepimpinan dalam koperasi sekolah tersebut untuk berusaha mempelbagaikan lagi perniagaan mereka dan bekerja keras bagi meningkatkan taraf sosioekonomi umat Islam setempat.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ahli Lembaga Yayasan Infaq ANGKASA, Dato’ Haji Ahmad Tajudin Abdul Rahman, Pengerusi An-Nikmah School Cooperative, Mr. Math Alpy, Pengarah Urusan An-Nikmah School, Mr. Him Ismail, Wakil Mufti Kerajaan Kemboja, H.E Sim Mohd Daud dan Pengurus Unit Kutipan dan Pengurusan Dana Infaq Lil- Waqf, Encik Safian Abdul Rahman.