ADUN Ayer Kuning meninggal dunia | Madani News

ADUN Ayer Kuning meninggal dunia

ADUN Ayer Kuning meninggal dunia
Ishsam Shahruddin

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia petang tadi selepas rebah ketika menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Allahyarham yang juga bekas pemain bola sepak sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian selepas beraksi bersama bekas pemain kebangsaan dari Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Berita pemergian Allahyarham disahkan rakannya, Mohd. Zakaria Mohamad, selain turut dimaklumkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi hantaran di Facebook.

“Mendapat khabar duka akan pemergian sahabat saya, YB Tuan Haji Ishsam Shahruddin, ADUN Ayer Kuning lewat petang tadi.

“Ya Allahu azza aa jalla, Kau ampunilah dosa-dosanya, Kau kasihanilah dia dan terimalah segala amalan kebaikannya di dunia ini. Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh. Allahumma-Amin,” katanya. – MADANI NEWS