Ambil tindakan tegas suspek kes cabul di masjid – Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap suspek kes cabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor, pagi tadi.
Beliau berkata, insiden melibatkan seorang lelaki yang bertindak mengangkat kanak-kanak itu ketika sedang bersolat perlu dipandang serius kerana berunsur jenayah.
“Tindakan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr. Muhammad Fahmi Ngah yang memanjangkan laporan kejadian kepada Ketua Polis Negeri Selangor adalah langkah tepat supaya siasatan segera dapat dijalankan.
“Saya berharap sekiranya suspek terbukti terlibat dengan perbuatan tersebut, maka tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau turut mengingatkan pihak pengurusan masjid dan surau supaya mempertingkatkan langkah kawalan keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor merangkap Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad meminta orang ramai agar tidak menyebarkan video berkaitan insiden tersebut, termasuk yang memaparkan wajah mangsa dan ahli keluarga, bagi mengelakkan trauma berpanjangan kepada mereka.
“Mana-mana pihak di media sosial sama ada pengguna akaun peribadi atau portal media massa diseru memadam video berkenaan demi menjaga maruah dan emosi mangsa.
“Saya juga menyeru saksi kejadian tampil membantu siasatan polis dan yakin pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor akan mengendalikan kes ini dengan cekap,” katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya suspek didapati bersalah, tindakan sewajarnya perlu dikenakan memandangkan perbuatan tersebut bukan sahaja jahat, malah memberi kesan emosi berpanjangan kepada mangsa sepanjang hayatnya.
“Semoga masyarakat kita terhindar daripada musibah seperti ini dan Pusat Khidmat ini akan melaksanakan perbincangan intensif bersama IPD Hulu Selangor secara berterusan bagi memperkukuhkan langkah pencegahan jenayah,” katanya.