Diskaun 30 Sen Minuman Kurang Gula di 12,000 ‘Restoran Mamak’

RAKYAT kini boleh menikmati diskaun 30 sen bagi setiap cawan minuman kurang atau tanpa gula di 12,000 restoran ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), sebagai sebahagian daripada kempen gaya hidup sihat yang disokong kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata inisiatif ini bukan sahaja membantu rakyat berjimat, tetapi juga menggalakkan pengurangan pengambilan gula dalam pemakanan harian.
“Kurang gula, harga turun 30 sen. Selalunya, harga tetap sama sama ada minuman itu bergula atau tidak. Jadi, kini ada perbezaan,” katanya ketika menghadiri Majlis Peletakan Logo Malaysia Madani di Restoran Nasi Kandar Putrajaya (Singgah Madani), seperti dilaporkan Harian Metro.
Sementara itu, Presiden Presma, Datuk Jawahir Ali Taib Khan, memaklumkan bahawa langkah ini mendapat sambutan baik daripada pelanggan dan disertai oleh semua rangkaian restoran ahlinya.
“Kami sahut seruan kerajaan untuk menyediakan makanan enak pada harga berpatutan. Walaupun harga bahan mentah meningkat, itu bukan alasan untuk menaikkan harga sesuka hati. Dengan sokongan lebih 12,500 ahli di seluruh negara, kami komited melaksanakan inisiatif ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jawahir turut memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk meneruskan skim penggantian pekerja asing di sektor restoran. Skim ini membolehkan majikan menggantikan pekerja yang pulang ke negara asal tanpa menambah jumlah keseluruhan kuota pekerja asing yang sedia ada.
“Contohnya, jika saya mempunyai kuota 20 pekerja asing, jumlah itu akan kekal setiap kali ada pekerja yang dihantar pulang kerana sakit atau memilih untuk berhenti,” jelasnya.
Perdana Menteri menyambut baik skim ini, sambil menegaskan ia tidak akan meningkatkan bilangan pekerja asing dalam sektor restoran. – MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews