Dr. Mahathir nasihatkan Anwar: “Sudah-sudahlah berbohong”

TUN Dr. Mahathir Mohamad, menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu berhenti menyebarkan pembohongan, termasuk menafikan pemimpin luar disekar dari bertemu bekas perdana menteri itu.
“Dia boleh nafi tapi saya nasihat sudah-sudahlah berbohong.
“Tak cukup lagikah rata-rata orang dah label dia sebagai orang yang ‘setiap kali buka mulut mesti bohong’,” kata Dr. Mahathir dalam kenyataan di Facebook hari ini sebagai mengulas kenyataan Anwar sebelum ini.
Media melaporkan Anwar berkata bahawa kerajaan tidak pernah menyekat mana-mana pemimpin luar yang mengunjungi negara ini untuk bertemu bekas perdana menteri itu dan dakwaan tersebut tidak harus dilayan.
Dr. Mahathir seterusnya membidas PMX kerana terus mengulangi dakwaan terhadap membidas dakwaan Anwar yang mengaitkan anaknya dengan harta bernilai RM1.2 bilion.
Beliau menjelaskan bahawa angka tersebut diambil daripada kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, tetapi tidak diceritakan secara menyeluruh.
“Azam Baki turut menyatakan bahawa jumlah tersebut dikira sejak 43 tahun lalu dan nilai sebenar, termasuk saham serta aset boleh lupus, adalah sekitar RM450 juta,” kata Dr. Mahathir.
Beliau juga menegaskan bahawa SPRM tidak pernah menunjukkan sebarang bukti bahawa beliau telah menyalahgunakan jawatannya untuk mengkayakan anak-anaknya.
Sebaliknya, beliau berkata anak-anaknya diminta berniaga di luar negara dan hanya mula menjalankan perniagaan di dalam negara selepas beliau bersara sebagai Perdana Menteri.
Dr. Mahathir turut mempersoalkan dakwaan Anwar bahawa terdapat “kotak-kotak bukti” yang kononnya membuktikan salah laku beliau dalam memperkayakan ahli keluarganya.
“Saya telah menyaman dia dan sudah lebih dua tahun berlalu, tetapi sehingga sekarang tidak ada satu kotak pun yang dia buktikan,” katanya.
Selain itu, Dr. Mahathir mengingatkan bahawa semasa Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, terdapat laporan bahawa adik-beradik dan ahli keluarganya menerima saham, kontrak serta pemberian lain daripada kerajaan.
“Jika ada yang tidak percaya, perkara ini telah dilaporkan oleh media dan senarai tersebut dipamerkan di Dewan PWTC ketika itu,” tambah beliau.
Mengakhiri kenyataannya, Dr. Mahathir sekali lagi menegaskan bahawa Anwar sering membuat kenyataan yang tidak benar dan menasihatinya untuk berhenti berbohong kepada rakyat. – MADANINEWS