Formula Kerajaan Perpaduan belum cukup padu | Madani News

Formula Kerajaan Perpaduan belum cukup padu

Formula Kerajaan Perpaduan belum cukup padu
Gambar hiasan: Facebook Anwar Ibrahim

Pentadbiran Kerajaaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini hampir memasuki fasa separuh penggal.

Kalau orang yang berkahwin pada hujung November 2022 mungkin sudah beranak seorang sekarang. Kalau kahwin lari di Siam lain pula ceritanya.

Secara terus-terang, prestasi Kerajaan Perpaduan setakat ini masih lagi suam-suam kuku. Bersih pun bagi gred D sahaja walaupun pertubuhan bukan kerajaan itu dulu sangat mesra dengan Pakatan Harapan (PH).

Dari segi politik, dua parti yang tidak dari dahulu tidak sekufu iaitu UMNO dan DAP masih belum dibuai mimpi yang sama meskipun tidur sebantal.

Sikap segelintir pemimpin DAP seperti Nga Kor Ming yang konsisten menyinggung sensitiviti umat Islam termasuk dalam isu sandwich ham dan penguatkuasaan larangan jualan arak di kawasan majoriti umat Islam telah mencetuskan keresahan dalam kalangan akar umbi UMNO.

Pada masa yang sama, DAP juga enggan mengiktiraf perjuangan UMNO untuk mendapatkan keadilan bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Akar umbi UMNO juga sukar untuk menerima kerjasama dengan DAP dan situasi itu dapat dilihat pada enam pilihan raya negeri (PRN) pada 2023. Jentera UMNO lebih selesa bergerak sendiri tanpa diiringi pemimpin atau ahli DAP.

Formula Kerajaan Perpaduan juga tidak menjadi semasa enam PRN lebih-lebih lagi di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah yang menyaksikan fenomena gelombang hijau yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN).

PRN Sabah yang dijangka berlaku dalam masa terdekat juga bakal menguji sama ada formula Kerajaan Perpaduan cukup ampuh untuk memikat hati rakyat di Negeri Di Bawah Bayu.

Begitu juga dengan PRN Sarawak yang bakal menyusul selepas itu. Adakah Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia memberi laluan kepada parti-parti Kerajaan Perpaduan khususnya PKR dan DAP?

Prestasi ekonomi negara pula masih belum mencapai tahap kemakmuran yang pernah dikecapai semasa zaman Barisan Nasional (BN) dahulu. Kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, formulanya sedang berjalan.

Rakyat terutamanya golongan B40 dan M40 mula merasai keperitan akibat kenaikan harga barang yang berpunca daripada pemansuhan subsidi diesel, nilai ringgit yang lemah serta pelaksanaan pelbagai cukai.

Penyasaran subsidi melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) setakat ini masih tersasar. Lebih lima juta orang telah mendaftar bagi fasa pertama PADU namun sehingga kini, masih belum nampak apa fungsinya.

Kebebasan bersuara yang diimpikan kumpulan baju kuning yang rajin berguling di atas jalan raya semasa zaman BN dahulu masih belum kesampaian. Malah, aktivis pro-PH seperti Fahmi Reza turut disiasat pihak berkuasa.

Isu jual beli saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga menjadi liabiliti kepada Kerajaan Perpaduan.

Amat jarang berlaku keadaan sebuah institusi menjual saham pada harga yang murah dan kemudian membelinya semula pada harga yang mahal. Memang di luar tabii sungguh.

Jika hendak disenaraikan, memang banyak isu yang dihadapi oleh Kerajaan Perpaduan. Mungkin cukup bahan untuk dijadikan sebuah buku sekiranya dikupas secara mendalam.

Apa yang pasti, Kerajaan Perpaduan tidak boleh menggunakan alasan: “Takkan semalam kahwin, hari ini sudah beranak.”

Tempoh bulan madu bagi mereka sudah lama berakhir. Jika mereka masih syok sendiri dan tidak mempedulikan suara rakyat, tidak mustahil PH dan BN akan kembali menjadi pembangkang selepas Pilihan Raya Umum Ke-16.

Bagaimana pula dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan GPS? Nasib GRS sama ada dapat bertahan atau berkubur bakal diketahui selepas PRN Sabah manakala GPS pula seperti biasa, siapa yang membentuk kerajaan pusat, parti itulah yang mereka sokong.- MADANI NEWS