Gerakan bantah caj kesesakan lalu lintas KL | Madani News

Gerakan bantah caj kesesakan lalu lintas KL

Gerakan bantah caj kesesakan lalu lintas KL
Pelaksanaan caj kesesakan dijangka dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di ibu negara sehingga 20 peratus. Gambar hiasan: Khanh Nguyen / Pexels

KUALA LUMPUR – Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan Gerakan, Ong Siang Liang membantah cadangan kerajaan untuk mengenakan caj kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, langkah tersebut tidak praktikal, tidak berpandukan penyelidikan menyeluruh serta membebankan rakyat yang tidak mempunyai pilihan selain menggunakan jalan raya.

“Cadangan ini seolah-olah menyamun daripada rakyat yang terpaksa menggunakan kenderaan sendiri kerana kelemahan sistem pengangkutan awam sedia ada.

“Sebagai seorang menteri, Dr Zaliha Mustafa sepatutnya mengemukakan penyelesaian yang lebih menyeluruh, bukannya mengambil jalan mudah dengan meletakkan beban kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, hasil kajian yang dilaksanakan mendapati kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur dijangka dapat dikurangkan sekitar 20 peratus sekiranya caj kesesakan dilaksanakan.

Beliau berkata demikian dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Siang Liang menambah, sekiranya masalah kesesakan boleh diselesaikan hanya dengan mengenakan caj, maka tidak ada keperluan bagi rakyat untuk terus membayar gaji tinggi kepada para menteri.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur, khususnya memperluaskan serta meningkatkan kecekapan rangkaian MRT, LRT dan BRT selain memperbaiki sistem first mile-last mile.

Selain itu, katanya, beberapa reka bentuk jalan perlu diperbaiki dan sistem isyarat lampu trafik dinaik taraf bagi memastikan aliran lalu lintas lebih lancar.

“Kerajaan harus menangani punca utama kesesakan trafik dengan menambah baik infrastruktur pengangkutan awam serta merancang semula sistem jalan raya secara menyeluruh, bukannya bergantung kepada caj kesesakan sebagai penyelesaian,” katanya. – MADANI NEWS