Jenazah anak bongsu Ayu Raudhah dan Zaquan Adha selamat dikebumikan

JENAZAH anak bongsu berusian enam bulan kepada pasangan selebriti Ayu Raudhah dan Mohamad Zaquan Adha selamat dikebumikan pada pukul 9.30 pagi, Rabu di Tanah Perkuburan Islam Makam Tuan Haji Said, Seremban, Negeri Sembilan.
Berita kematian bayi bernama Muhammad Aisy Al Rees Mohamad Zaquan Adha itu dikongsi oleh bapanya yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan menerusi Instastory miliknya.

Bagaimanapun Zaquan tidak berkongsi punca kematian anaknya itu. Tidak lama kemudian, pelakon Rozita Che Wan memaklumkan Aisy meninggal dunia ketika sedang tidur kira-kira pukul 1 petang.
Allahyarham Muhammad Aisy Al Rees dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu.
Zaquan mendirikan rumah tangga dengan Ayu pada 21 Januari 2011 dan hasil perkahwinan itu mereka turut dikurniakan enam cahaya mata lain iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann, 12, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang berusia dua tahun. – MADANINEWS