“Kami bukan penjilat, jangan samakan kamu dengan kami,” Akmal bidas Nazri

“KAMI Pemuda (UMNO) bukan penjilat mencari makan. Kami ada tanggungjawab untuk menjaga agama bangsa daripada sibuk menjilat untuk kepentingan diri,”kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dengan menegaskan sayap parti itu bukanlah golongan pengampu.
Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan bekas Duta Besar Malaysia (AS) ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menyatakan tiada calon lain layak menjadi Perdana Menteri seterusnya, termasuk dari UMNO.
“Jika kamu nak menjilat, silakan. Jangan samakan kamu dengan kami.
“Mana tahu lepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula,” perli Akmal pada hantaran di media sosial.
Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Nazri berhasrat memberi tumpuan untuk menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas kembali dari AS, serta memastikan presiden PKR itu kekal menerajui Putrajaya selepas PRU16.
Ketika ditanya jika kebimbangannya mengenai ketiadaan calon pengganti Anwar turut merangkumi UMNO, Nazri membalas dengan sinis: “(Boleh) kamu beritahu saya siapa? Akmal? Kamu beritahu saya siapa.”
Nazri turut menyindir Akmal dengan mengatakan ADUN Merlimau itu hanya mewakili “satu perempat” daripada empat sayap UMNO, justeru pandangannya mengenai pelbagai isu tidak boleh dianggap sebagai suara majoriti.
Sementara itu, Akmal menyoal jika Nazri sendiri mewakili majoriti orang Melayu.
“Saya nak tanya juga, adakah kamu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu?
“Mungkin kamu dah lupa, yang kamu bukan berada di Amerika lagi sebab kontrak tidak disambung lagi,” katanya.
Awal bulan ini, Nazri kembali ke Malaysia dan menafikan dakwaan bahawa beliau telah “dipanggil balik” sebelum tamat tempoh perkhidmatannya.
Nazri menjelaskan sebagai duta yang dilantik secara politik, dia telah menandatangani kontrak dua tahun dengan Kementerian Luar Negeri. – MADANINEWS