“Mustahil UMNO boleh dicucuk hidung, DAP pun tidak berani”, jawab Puad dakwaan MCA akan disingkir dari BN

KONFLIK dalaman antara komponen parti dalam Barisan Nasional (BN) semakin genting apabila semakin banyak kenyataan dibuat oleh pemimpin parti yang ‘menyerang’ antara satu sama lain walaupun mereka telah lama bersama,
“TIDAK ada sebab UMNO mahu MCA atau MIC disingkirkan daripada Barisan Nasional (BN),” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengulas isu terbaru hubungan antara komponen parti tersebut.
Beliau berkata, UMNO lebih suka keanggotaan BN bertambah tetapi terhalang kerana peraturan BN menetapkan mesti ada persetujuan semua parti komponen.
“Sebab itu BN ada anggota berstatus “Fiends of BN” seperti Makkal Sakti, MUIP, Parti Punjabi, KIMMA, IPF dan Parti Cinta Malaysia,” katanya mengulas mengenai pendedahan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengenai dakwaan cadangan ‘orang luar’ tertentu yang mencadangkan agar UMNO menyingkirkan MCA daripada BN.
Beliau berkata, terbukti “friends of BN” adalah rakan yang setia dan mudah berunding.
“Jika kalau ada pihak luar khususnya DAP mahu UMNO singkir MCA atau MIC ia tidak akan berlaku. Mustahil UMNO boleh dicucuk hidung. DAP pun tidak akan berani. Lagi pun mesti ada konsensus dari parti komponen.
“Justeru MCA jangan takut bayang bayang sendiri. Semua parti ada turun naik macam UMNO. Mesti ada jalan keluar. Tidak perlu menuding jari,” tambahnya. – MADANINEWS