Nik Nazmi kesal gerai jagung bakar pamer notis perkauman | Madani News

Nik Nazmi kesal gerai jagung bakar pamer notis perkauman

Nik Nazmi kesal gerai jagung bakar pamer notis perkauman
Notis berunsur perkauman yang dipamerkan di sebuah gerai menjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan kekesalannya berhubung insiden notis berunsur perkauman yang diletakkan di sebuah gerai menjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang, baru-baru ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan seperti itu tidak mencerminkan nilai kemanusiaan dan perpaduan yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.

“Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, agama, dan budaya. Setiap individu berhak dilayan dengan rasa hormat tanpa sebarang diskriminasi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum ini, tular rakaman video di media sosial yang menunjukkan tindakan seorang penjaja tepi jalan meletakkan notis berunsur perkauman di atas meja yang digunakan untuk menjual jagung bakar.

Menerusi video berkenaan, penjaja tersebut meletakkan notis ‘Maaf, ini jagung tiada jual sama orang k****g’ sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat India di negara ini susulan perkataan itu merupakan istilah yang menghina kaum terbabit.

Nik Nazmi turut menegaskan bahawa melabel sesuatu kaum dengan istilah menghina tidak sepatutnya berlaku kerana setiap kata-kata yang digunakan mencerminkan nilai diri dan masyarakat.

“Apa yang berlaku tidak menggambarkan sesuatu kaum. Selalunya, hanya sebilangan kecil sahaja yang bersikap ekstrem dan rasis. Jangan biarkan perbuatan segelintir individu merosakkan hubungan baik antara kaum yang telah terjalin sekian lama,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Islam mengajar umatnya untuk menghormati insan lain dan bertindak dengan kasih sayang, bukannya kebencian.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar kekal tenang dan tidak memperbesarkan isu ini sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kita perlu terus menyemai semangat perpaduan dan saling menghormati,” katanya.