Nilai 3 ‘sakit’, syurga beli-belah dah jadi macam ‘bandar hantu’

Oleh AHMAD ABD HAMID
FALSAFAH orang putih menyebut: “All good things must come to an end.” Kurang lebih maksudnya ialah “Semua yang baik dan indah akan berakhir jua.” Pengalaman dan kenangan manis dalam hidup akhirnya akan menemui nokhtah, tidak kekal selamanya.
Apakah gejala ini yang sedang melanda pusat beli belah terkenal Nilai 3, Negeri Sembilan sekarang? Pusat beli belah yang 10 tahun lalu begitu sibuk dipenuhi pelanggan dari jauh dan dekat, kini sunyi.
Ada yang berkata Nilai 3 telah bertukar daripada ‘syurga membeli belah’ kepada ‘bandar hantu’ yang lengang. Bukan tiada langung yang datang, tetapi jauh bezanya berbanding era kegemilangannya. Jumlah kenderaan atau pengunjung boleh dibilang dengan jari.
Tiada lagi sibuk dan hiruk pikuk pelanggan mencari barang keperluan. Tiada lagi suasana sukar mencari parkir kerana semua petak dipenuhi kenderaan. Tiada lagi bas rombongan berduyun-duyun membawa pengunjung.
Biasanya pada hujung minggu atau waktu cuti sekolah Nilai 3 bagai syurga pembeli. Namun lawatan penulis baru-baru ini mendapati suasana ini sangat kontras dengan pemandangan yang penulis alami sebelum ini. Nilai 3 sbagai hilang seri dan tarikan.
Peniaga lebih banyak menghabiskan masa duduk santai menatap telefon bimbit berbanding kesibukan melayan pelanggan. Sekali sekala memandang ke jalan di hadapan kedai yang lengang, mengharap ada pengunjung singgah. Namun yang diharap tidak kunjung tiba.
Selain banyak premis niaga lengang, ada premis yang sudah ditutup. Mungkin kerana sudah tidak dapat bertahan. Melihat kepada keadaan premis dan kain rentang yang sudah lunyai dimamah panas dan hujan, menyerlahkan premis sedah lama ditutup.
Nilai 3 memang popular. Ramai yang datang berulang kali, baik dari kawasan berdekatan atau jauh di selatan, utara dan timur. Baik menaiki kenderaan persendirian atau bas rombongan.
Ini kerana tempat tersebut terkenal sebagai pusat hentian setempat atau one stop centre mencari pelbagai barang keperluan, memudahkan pengunjung membeli barang dalam satu persekitaran.
Daripada keperluan rumah seperti permaidani, perabut jati dan bukan jati, langsir, selimut, tilam bantal, bidai, keperluan bilik air, juga lukisan untuk hiasan dinding semua ada. Jika mahu, boleh buat tempahan langsir yang siap dalam sejam, bergantung kepada kuantiti.
Juga terdapat pakaian pelbagai fesyen untuk lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, barang permainan untuk kanak-kanak, peralatan sukan dan eksesais. Begitu juga dengan barangan elektrik. Semua ada.
Paling popular Nilai 3 ialah pusat sehenti untuk majlis perkahwinan. Barang keperluan perkahwinan, dari kepala hingga ke kaki ada disediakan. Juga hadiah perkahwinan, paket cenderamata, bekas atau tepak untuk hantaran, bunga telur, bunga paha semua ada.
Semua barang seperti disebut masih ada, sama seperti dahulu, setia menanti pembeli. Bezanya pembeli sudah berkurangan. Peniaga pula mengeluh kerana barang-barang banyak tidak diusik.

Ada peniaga memaklumkan, premisnya langsung tidak menerima pengunjung dalam tempuh lebih seminggu. Sebelumnya dia ada beberapa premis, kini tinggal satu. Hujung minggu dan musim cuti yang selalunya sibuk kini bertukar sunyi.
Warung atau gerai yang biasa menjual makanan pun hilang. Gerai-gerai bergerak menjual air, kuih muih dan goreng pisang pun tidak kelihatan di tempat selaluya.
Kenapa Nilai 3 hilang seri? Benarkah antara sebab utama kerana saingan sengit daripada e-perdagangan, atau pembelian atas talian di mana pembeli hanya memesan tanpa perlu hadir secara fizikal ke pusat pembelian? Harganya juga lebih murah.
Ada juga beranggapan ia adalah kesan jangka panjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika Covid-19 melanda. Ketika itu perniagaan ditutup dan kesannya dikatakan terus dirasai hingga kini. Atau mungkinkah kerana saingan daripada tempat membeli belah berkonsep Nilai 3 yang lain?
Yang pasti Nilai 3 sedang sakit. Langkah pemulihan segera mesti dilakukan jika ia ingin kembali gah seperti dahulu. Tentunya ini disedari oleh kerajaan Negeri Sembilan. Tetapi apa tindakan yang diambil untuk mengembalikan kegemilangan Nilai 3?
- PENULIS merupakan seorang bekas pengarang kanan di Utusan Malaysia dan jawatan terakhirnya adalah Penolong Ketua Pengarang Utusan.