Pemimpin PKR Cabar Syahir Namakan Calon Perdana Menteri dari PN | Madani News

Pemimpin PKR Cabar Syahir Namakan Calon Perdana Menteri dari PN

Pemimpin PKR Cabar Syahir Namakan Calon Perdana Menteri dari PN
Syahir Che Sulaiman dan Chua Wei Kiat

PEMIMPIN PKR mencabar Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Che Sulaiman, agar menamakan calon perdana menteri daripada Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan mampu menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat, berkata walaupun Ahli Parlimen Bachok itu mendakwa PN memiliki ramai calon yang layak untuk diangkat sebagai perdana menteri, sehingga kini gabungan tersebut masih gagal menamakan individu yang akan diangkat ke jawatan tertinggi itu.

“Syahir boleh terus mengkritik kerajaan perpaduan dan Anwar, tetapi adakah beliau mampu menjawab satu soalan mudah – siapa calon perdana menteri daripada PN?” soal Chua dalam satu kenyataan.

Beliau turut membangkitkan bahawa PAS sendiri pernah menolak Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal perdana menteri PN sebelum ini.

“PAS sebagai parti terbesar dalam PN tidak perlu takut kepada Bersatu. PAS berhak menamakan calon perdana menteri daripada parti mereka sendiri,” katanya lagi.

Chua yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang mendakwa bahawa pemimpin PN cuba mengelirukan rakyat, namun hakikat perpecahan dalam gabungan itu semakin jelas.

“Malah, gabungan itu tidak mempunyai kepimpinan berwibawa untuk menerajui negara,” tambahnya.

Sementara itu, ADUN Kota Anggerik, Najwan Halimi, turut mempersoalkan mengapa Syahir tidak menamakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebagai calon utama untuk menggantikan Anwar.

“Saya ingin bertanya kepada saudara Syahir, adakah saudara tidak yakin dengan keupayaan presiden PAS untuk menjawat jawatan perdana menteri?” katanya.

“Saya boleh faham jika saudara tidak yakin dengan presiden kerana ramai juga berpandangan beliau tidak layak. Justeru, bolehkah Syahir menamakan seorang calon perdana menteri daripada PAS? Itu pun kalau ada,” tambahnya secara sinis.

Kenyataan pemimpin PKR ini dibuat susulan ulasan Syahir semalam bahawa seorang teknokrat boleh menggantikan Anwar sebagai perdana menteri, dan menyifatkan alternatif itu sebagai pilihan terbaik untuk negara.

Terdahulu, bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyuarakan sokongan terhadap Anwar sebagai calon perdana menteri ke-11 atas faktor ketiadaan pengganti yang setanding, termasuk dalam UMNO sendiri. – MADANINEWS