Pernah dikata ‘penyanyi sumbang’, Fattah buktikan sebaliknya.. ‘Lelaki Terakhir’ trending di YouTube

SELEPAS menerima kritikan terhadap nyanyiannya dalam lagu pertama “Wanita Terakhir”, pelakon dan penyanyi Fattah Amin kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul “Lelaki Terakhir”. Berbeza dengan sebelum ini, kali ini percubaannya membuahkan hasil apabila lagu tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada pendengar.
Lebih istimewa, “Lelaki Terakhir” kini berada dalam carta trending di YouTube, dengan lebih 50,000 tontonan dalam tempoh hanya dua hari sejak dilancarkan. Kejayaan ini merupakan satu pencapaian bermakna buat Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, yang menyifatkan lagu ini sebagai gambaran dugaan percintaan yang penuh cabaran.
“Ia satu pencapaian bermakna bagi saya dan memang langsung tak sangka ia mendapat sambutan baik sehingga trending di YouTube.
“Lagu ini sangat bermakna kerana ia menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran. Tetapi jika disertai dengan kesetiaan dan doa, cinta itu akan terus kekal hingga ke akhir hayat,” katanya.
Bercakap mengenai penghasilan lagu tersebut, Fattah mengakui bahawa proses menyiapkan “Lelaki Terakhir” bukanlah mudah, namun sokongan peminat menjadi pendorong utamanya.
“Perjalanan menghasilkan lagu ini bukan mudah tetapi sokongan peminat memberikan dorongan untuk saya terus berkarya.
“Saya berharap lagu ini dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati pendengar,” ujarnya lagi.
“Lelaki Terakhir” merupakan ciptaan komposer dan penerbit Mel Ramlan, manakala liriknya ditulis oleh Fattah sendiri. Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan perkembangan dalam karier nyanyiannya tetapi juga menegaskan kehadirannya dalam industri muzik tanah air. – MADANINEWS