Ramai Layak Ganti PMX, Anwar Rendahkan Kriteria Sebagai PM – Syahir Sulaiman | Madani News

Ramai Layak Ganti PMX, Anwar Rendahkan Kriteria Sebagai PM – Syahir Sulaiman

Ramai Layak Ganti PMX, Anwar Rendahkan Kriteria Sebagai PM – Syahir Sulaiman

SETIAUSAHA Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, menyatakan bahawa ramai tokoh politik, teknokrat, dan diplomat di Malaysia layak untuk menggantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pandangan Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tiada individu yang layak menggantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 (PM10) adalah cetek dan tidak berasas.

“Malaysia mempunyai ramai pemimpin berwibawa yang boleh menjadi Perdana Menteri ke-11 (PM11) dan seterusnya. Malah, tidaklah sukar untuk sesiapa mengambil alih jawatan ini selepas PM10 merendahkan kriteria seorang Perdana Menteri dengan hanya bercakap kosong dan berjanji manis tanpa hasil yang nyata,” katanya dalam satu kenyataan di media sosialnya.

Beliau turut menekankan bahawa Malaysia kini memerlukan kepimpinan yang lebih profesional, kompeten, berintegriti dan ikhlas dalam mengutamakan kepentingan negara, bukan sekadar agenda peribadi.

Syahir berpandangan bahawa seorang teknokrat harus diberi peluang untuk memimpin negara sebagai PM11, sama seperti kepimpinan berwibawa yang pernah ditonjolkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim.

“Seorang profesional yang disegani, kompeten, berintegriti dan bermaruah – ‘man of his word, man of integrity’ – adalah ciri kepimpinan yang diperlukan Malaysia pada masa ini,” tambahnya.

Beliau juga mencadangkan agar calon Perdana Menteri seterusnya tidak terhad dalam kalangan ahli politik sahaja, sebaliknya boleh dipilih daripada tokoh korporat atau CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLIC) yang berpengalaman dan dihormati.

“PM Teknokrat adalah alternatif terbaik bagi menggantikan PM10 untuk membawa Malaysia ke arah kepimpinan yang lebih baik,” katanya.

Setakat ini, Syahir tidak menamakan mana-mana individu yang difikirkannya layak untuk jawatan tersebut tetapi menyatakan ia terbuka untuk perbincangan. – MADANINEWS