Tolak bukti video rasuah ADUN Sabah, tindakan Azam Baki dikecam | Madani News

Tolak bukti video rasuah ADUN Sabah, tindakan Azam Baki dikecam

Tolak bukti video rasuah ADUN Sabah, tindakan Azam Baki dikecam

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menolak bukti video berkaitan skandal rasuah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menyifatkan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, bahawa video tersebut telah disunting dan tidak mempunyai kredibiliti sebagai bercanggah dengan ketegasan Perdana Menteri dalam membanteras rasuah.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menegaskan bahawa beliau tidak peduli sebesar mana atau setinggi mana kedudukan seseorang yang terpalit dengan rasuah. Kenyataan ini jelas bertentangan dengan pendirian SPRM yang menolak bukti video skandal rasuah ADUN Sabah,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

SPRM: Video Tidak Kredibel

Sebelum ini, SPRM melaporkan bahawa lapan video berkaitan isu rasuah ADUN Sabah tidak boleh dijadikan bukti kerana hasil analisis forensik mendapati ia mengandungi elemen suntingan.

Namun, Ronald menegaskan SPRM sepatutnya merujuk kepada pandangan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, yang pernah menyatakan bahawa video seperti ini tetap perlu disiasat.

“Latheefa menegaskan bahawa video skandal rasuah ADUN Sabah adalah bukti yang wajib disiasat dan beliau tidak bersetuju dengan pandangan Azam bahawa video yang disunting tidak boleh dijadikan bukti,” tambahnya.

Sehubungan itu, Ronald mendesak SPRM untuk bertindak selari dengan komitmen Perdana Menteri dalam memastikan semua kes rasuah, tanpa mengira kedudukan individu yang terlibat, disiasat secara telus dan adil. – MADANINEWS

KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews