Izzuddin-Sze Fei sandaran Malaysia juarai Seluruh England, janji persembahan terbaik

PASANGAN beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, berjanji akan memberikan persembahan terbaik apabila turun beraksi di Kejohanan Badminton Seluruh England, esok.
Sebagai pasangan beregu lelaki nombor dua dunia dan pilihan kedua kejohanan, mereka menjadi sandaran utama Malaysia untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam kejohanan badminton tertua di dunia itu.
Izzuddin-Sze Fei akan membuka kempen menentang beregu berpengalaman Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang di pusingan pertama. Ini adalah pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan tersebut.
Sze Fei menyatakan bahawa mereka akan berbincang bersama jurulatih, Teo Kok Siang, bagi merangka strategi terbaik menghadapi perlawanan tersebut.
“Saya akan berbincang dengan Izzuddin dan jurulatih mengenai strategi yang akan kami gunakan untuk pusingan pertama nanti.
“Apa pun, kami mahu keluarkan persembahan terbaik kami,” katanya kepada Astro Arena.
Sementara itu, Izzuddin menekankan kepentingan persiapan mental untuk memastikan mereka berada dalam keadaan terbaik sepanjang kejohanan.
“Kami hanya fokus kepada kekuatan mental kami,” katanya.
Izzuddin-Sze Fei kini dianggap taruhan terbaik negara untuk menjuarai Seluruh England berdasarkan prestasi luar biasa mereka dalam tujuh bulan terakhir. Mereka berjaya menjuarai empat kejohanan Jelajah Dunia BWF termasuk Terbuka Jepun, Terbuka China, Artik 2024, serta Terbuka India 2025.
Selain itu, mereka turut menjadi naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF pada Disember lalu.
Kali terakhir Malaysia menjuarai Seluruh England adalah menerusi Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki empat tahun lalu, manakala kejayaan beregu lelaki terakhir dicapai oleh Koo Kien Keat-Tan Boong Heong pada 2007.
Dengan prestasi yang semakin meningkat, harapan tinggi diletakkan ke atas Izzuddin-Sze Fei untuk membawa pulang kejuaraan yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia.