Ketirisan dana: Ahmad Fadhli gesa audit peruntukan Ahli Parlimen kerajaan | Madani News

Ketirisan dana: Ahmad Fadhli gesa audit peruntukan Ahli Parlimen kerajaan

Ketirisan dana: Ahmad Fadhli gesa audit peruntukan Ahli Parlimen kerajaan

KETUA Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, menggesa kerajaan melaksanakan audit forensik terhadap peruntukan Ahli Parlimen kerajaan bagi memastikan tiada ketirisan dana.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, yang mendedahkan bahawa setiap Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan RM1.7 juta setahun bagi tempoh 2023 hingga 2024.

Menurut Ahmad Fadhli, risiko ketirisan dan salah guna dana lebih tinggi dalam kalangan Ahli Parlimen yang juga memegang jawatan sebagai menteri, kerana mereka sibuk dengan tugas rasmi, termasuk lawatan ke luar negara. Oleh itu, audit ini penting bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana kerajaan.

Beliau turut mengulas mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pegawai khas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang ditahan atas dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 bagi membantu meluluskan dana projek mesra rakyat bernilai RM1.5 juta.

Kok menafikan dakwaan bahawa beliau pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk peralatan elektronik di sekolah-sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Ahmad Fadhli menegaskan bahawa jika kerajaan benar-benar mengutamakan integriti, audit forensik ke atas peruntukan Ahli Parlimen kerajaan harus menjadi keutamaan segera bagi mengelakkan sebarang ketirisan dana awam.

KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews