Rampasan berjuta ringgit tamparan hebat pihak bersembunyi di sebalik kuasa politik - MCW | Madani News

Rampasan berjuta ringgit tamparan hebat pihak bersembunyi di sebalik kuasa politik – MCW

Rampasan berjuta ringgit tamparan hebat pihak bersembunyi di sebalik kuasa politik – MCW
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Kejayaan rampasan berjuta-juta ringgit oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini adalah satu tindakan holistik dan tamparan hebat kepada pihak-pihak yang selama ini bersembunyi di sebalik kuasa politik.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan terkini berhubung siasatan SPRM terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan dakwaan pengubahan wang haram.

“Kami menegaskan bahawa prinsip integriti dan ketelusan dalam pentadbiran negara adalah amat penting untuk dipraktikkan secara saksama.

“Sesiapa sahaja yang terlibat dalam salah guna kuasa dan rasuah harus dihadapkan ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat atau kedudukan, sama ada pemberi ataupun penerima rasuah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, secara realiti dalam pendakwaan kes rasuah, pemberi rasuah sering digunakan sebagai saksi utama terhadap penerima rasuah, khususnya dalam kes yang melibatkan pemimpin berprofil tinggi.

“Walaupun ini adalah strategi biasa dalam pendakwaan, MCW berpandangan bahawa pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya harus dikenakan tindakan tegas bagi memastikan keadilan dilaksanakan secara menyeluruh,” ujarnya.

Jais turut menegaskan bahawa kejayaan rampasan berjuta-juta ringgit oleh SPRM baru-baru ini membuktikan bahawa pihak berkuasa tidak berkompromi dalam menangani rasuah.

“Namun, siasatan SPRM ini tidak seharusnya menjadi alat politik bagi menekan pihak-pihak tertentu sahaja, sedangkan masih ada individu lain yang seolah-olah mempunyai kekebalan daripada tindakan yang sama,” katanya.

Dalam konteks politik negara, beliau berkata pendedahan kes-kes rasuah melibatkan pemimpin berprofil tinggi boleh memberi kesan terhadap kepercayaan rakyat serta maruah negara.

Sehubungan itu, Jais menggesa agar reformasi institusi dan pelaksanaan Akta Pendanaan Politik dilaksanakan segera bagi memastikan pemimpin lebih amanah dan bebas daripada amalan rasuah ketika memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

“MCW akan terus komited memantau dan menyuarakan pandangan mewakili suara rakyat yang menuntut ketelusan dalam reformasi bagi membebaskan Malaysia daripada cengkaman rasuah,” katanya.

Jais menyeru semua pihak bersatu padu dan bekerjasama dalam membanteras budaya rasuah yang telah lama berakar umbi dalam pentadbiran kerajaan.

“Perjuangan membanteras rasuah bukan hanya tanggungjawab SPRM dan pihak berkuasa semata-mata. Sokongan jitu serta kesedaran rakyat Malaysia amat diperlukan bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bermaruah, berintegriti dan bebas rasuah,” katanya. – MADANI NEWS