Skandal RM350,000: Rasuah atau tidak, Speaker Sabah perlu letak jawatan – ADUN

⋅
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya meletakkan jawatan, tanpa mengira sama ada dia terlibat atau tidak dalam dakwaan menerima rasuah sebanyak RM350,000.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mempertahankan prinsip pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman — asas utama bagi mencegah penyalahgunaan kuasa serta penularan rasuah.
“Speaker adalah pemimpin dan pengawal perjalanan sidang dewan. Namun, pendedahan perbualan yang menunjukkan dia terlibat dalam urusan perniagaan menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa.
“Ini mencemarkan kredibiliti sistem pemisahan kuasa,” kata ADUN dari parti Warisan itu dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kemunculan satu lagi video berkaitan skandal di Sabah yang memaparkan perbincangan melibatkan Kadzim.
Usahawan yang mendedahkan video itu — yang merupakan video kesembilan sejak November tahun lalu — mendakwa telah memberi rasuah kepada beberapa Adun di Sabah sebagai balasan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral di negeri itu.
Pembocor maklumat itu turut mendakwa Kadzim menggunakan kedudukannya untuk meminta projek daripada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Bagaimanapun, Kadzim menafikan semua dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “pembohongan”.
Kadzim hari ini menegaskan dia hanya meminjam RM50,000 dan tidak tahu-menahu mengenai wang RM350,000 yang disebut dalam video berkenaan.
Justin berkata, walaupun siasatan berkaitan dakwaan itu perlu diserahkan kepada SPRM, Kadzim seharusnya berundur secara terhormat demi menjaga integriti institusi perundangan.
ADUN Sri Tanjong itu berkata, skandal rasuah berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai sama ada wakil rakyat yang dipilih benar-benar berkhidmat untuk rakyat atau lebih mengutamakan kepentingan peribadi.
“Jika seorang wakil rakyat yang terpalit dengan skandal rasuah masih boleh mengekalkan jawatan, bagaimana rakyat boleh percaya kepada kerajaan?
“Adakah kerajaan Sabah mengamalkan dasar ‘pemimpin boleh buat sesuka hati, tetapi rakyat tidak boleh bersuara’?” sindirnya.
Dia turut mengingatkan bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah dijangka akan diadakan tahun ini, justeru rakyat perlu membuat penilaian bijak sama ada mahu terus bergantung kepada parti politik nasional, atau memberi peluang kepada parti tempatan mentadbir negeri — seperti yang dilakukan di Sarawak.
“Rakyat perlu menilai sendiri – dengan semua kes rasuah dan isu pembangunan negeri, adakah kita mahu terus bergantung kepada pihak luar untuk membawa perubahan, atau kita mahu pemimpin tempatan mengurus negeri sendiri?” katanya.
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews