SPRM tahan wartawan Malaysiakini, didakwa terima rasuah RM20 ribu

PORTAL berita Malaysiakini mengesahkan wartawannya, B Nantha Kumar ditahan oleh Suruhahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi kerana didakwa menerima rasuah daripada ejen yang berurusan dengan pekerja asing.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, wartawan tersebut ditahan bersama wang RM20,000 di sebuah hotel di Shah Alam selepas dipercayai berurusan dengan sebuah ejen pekerja asing.
Menurut Azam, wartawan itu didakwa meminta RM100,000 daripada ejen itu sebagai balasan untuk tidak menyiarkan dua artikel berhubung ejen berkenaan.
Kata Azam lagi, jumlah itu akhirnya dikurangkan kepada RM20,000.
“Ejen itu membuat laporan kepada SPRM, selepas itu kami menjalankan apa yang dipanggil ‘kes perangkap’.
“Ejen itu kemudian bertemu wartawan di Hotel Concorde di Shah Alam di mana wang tunai diserahkan kepada wartawan.
“Pegawai SPRM menahan wartawan itu di tempat kejadian dengan wang RM20,000,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Bagaimanapun, Azam menafikan bahawa penahanan itu adalah kerana penerbitan artikel Malaysiakini baru-baru ini mendedahkan kartel pemerdagangan warga asing.
Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan SPRM untuk menahan remannya selama empat hari.
Nantha – yang berkhidmat dengan Malaysiakini sejak 2018 – telah menulis secara meluas baru-baru ini mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.
Pengarang Eksekutif Malaysiakini RK Anand dan Pengarang Urusan Ng Ling Fong berkata portal berita itu terkejut dengan dakwaan terhadap wartawannya.
“Nantha Kumar seorang wartawan berpengalaman yang telah berada di barisan hadapan dalam membongkar pelbagai skandal. Dia secara konsisten menunjukkan dedikasi dan keberanian dalam membuat lapora-laporan ini, selalunya membahayakan diri sendiri.
“Malaysiakini kekal teguh dengan prinsipnya dan tidak bertolak ansur dengan sebarang kesalahan. Pada masa yang sama, kami akan mengambil semua langkah yang perlu untuk membantu wartawan kami dalam proses itu,” tambah mereka.
Sementara itu, peguam Rajsurian Pillai berkata dia telah bercakap dengan Nantha, yang menjelaskan apa yang telah berlaku.
“Saya lebih suka tidak mendedahkan butiran lanjut buat masa ini kerana perkara itu masih dalam siasatan. Jika dia didakwa, kami akan mempertahankannya di mahkamah.
“Buat masa ini, biarkan SPRM menyelesaikan siasatan mereka,” katanya.
Dalam maklum balas segera, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) mengambil maklum penahanan seorang anggota NUJM-Malaysiakini.
“NUJM berharap sebarang siasatan oleh SPRM akan membawa keadilan kepada semua pihak dan bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara di negara ini,” kata Setiausaha Agung NUJM Teh Athira Yusof. – MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews