Tragedi malam Ramadan: 2 bekas pelajar SMK Dato’ Syed Omar maut kemalangan selepas tarawih

SUASANA pilu menyelubungi warga maya apabila dua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Omar, Muhammad Dhani Arumi Mohd Azlan dan Muhammad Danish Iqbal Mohd Niza, masing-masing berusia 18 tahun, maut dalam kemalangan tragis di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar malam tadi.
Lebih menyayat hati, kedua-dua mangsa baru sahaja selesai menunaikan solat tarawih sebelum kereta yang dinaiki bersama tiga rakan lain hilang kawalan lalu terbabas, merempuh penghadang jalan sebelum melanggar tiang elektrik, pokok kelapa dan hentian bas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, mengesahkan kejadian membabitkan sebuah Perodua Myvi yang dinaiki lima remaja lelaki berusia 18 tahun.
“Kereta yang dipandu dari arah Jalan Alor Mengkudu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan. Akibat hentaman kuat, kesemua mangsa tersepit dan memerlukan bantuan bomba untuk dikeluarkan.
“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan dua daripada mereka maut di tempat kejadian, manakala tiga lagi mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rayuan Saksi Bantu Siasatan
Siti Nor Salawati turut memaklumkan bahawa jenazah kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menyeru saksi kejadian tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Ifzam Mohd Zaini di talian 04-7321222 / 012-4043373 bagi membantu siasatan.
“Pergi Dalam Bulan Baik” – Warga Maya Luah Hiba
Berita pemergian Muhammad Dhani dan Muhammad Danish mengundang rasa hiba dalam kalangan netizen yang membanjiri media sosial dengan ucapan takziah dan doa.
“Pergi dalam bulan baik, di waktu doa diangkat dan rahmat Allah melimpah ruah,” tulis seorang pengguna Facebook yang turut berkongsi perasaan sedih atas tragedi ini.
Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini, dan roh kedua-dua arwah dicucuri rahmat. – MADANINEWS