URA: Sukar nak percaya Anwar, Melayu Malaysia akan jadi seperti di Singapura - Tun M | Madani News

URA: Sukar nak percaya Anwar, Melayu Malaysia akan jadi seperti di Singapura – Tun M

URA: Sukar nak percaya Anwar, Melayu Malaysia akan jadi seperti di Singapura – Tun M

TUN Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi menyuarakan ketidakpercayaannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kali ini berkaitan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA). Bekas Perdana Menteri itu menyifatkan janji-janji Anwar sebagai tidak boleh dipercayai dan memberi amaran bahawa nasib orang Melayu di Malaysia bakal mengikut jejak Melayu di Singapura sekiranya URA dilaksanakan.

Mahathir menegaskan bahawa Anwar sering mengubah pendirian dalam isu berkaitan kebajikan rakyat, khususnya orang Melayu, dan ini menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan kerajaan dalam melindungi hak pemilik tanah bandar.

“Saya tidak percaya cakap Anwar. Sejak dulu dia cakap lain, buat lain. Kalau kita terus percaya, orang Melayu akan jadi seperti Melayu di Singapura—hilang kuasa, hilang hak,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Mahathir turut mempersoalkan bagaimana Anwar boleh memberi jaminan bahawa URA tidak akan menjejaskan Melayu sedangkan isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur pun gagal diselesaikan oleh kerajaan.

Anwar Beri Jaminan, Mahathir Kekal Ragu

Sebelum ini, Anwar memberi jaminan bahawa penggubalan URA tidak akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengusir pemilik harta asal, tanpa mengira etnik. Beliau menegaskan bahawa tidak akan ada peruntukan di bawah akta berkenaan yang membenarkan pengusiran pemilik tanah atau premis secara paksaan.

“Tidak timbul sama sekali pemilik asal tanah – tanpa mengira kaum – akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan, malah status tanah asal kekal sama ada rizab Melayu atau status kekal tidak akan berubah. Kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak serta perlindungan yang diberikan,” katanya di Dewan Rakyat.

Namun, Mahathir tetap berpegang pada pendiriannya bahawa URA hanya akan menguntungkan golongan kaya dan peniaga, sedangkan orang Melayu akan kehilangan kedudukan di bandar-bandar utama.

“Melalui URA ini nanti, cuma orang kaya dan peniaga yang mampu tinggal di kawasan bandar, sedangkan Melayu tidak dapat dipastikan keberadaannya,” katanya.

Melayu Malaysia Akan Jadi Seperti Melayu Singapura?

Mahathir memberi amaran bahawa jika Rang Undang-undang (RUU) URA itu diluluskan dan akta tersebut berkuat kuasa, orang Melayu di Malaysia akan menerima nasib sama seperti Melayu di Singapura. Menurut beliau, di Singapura kampung Melayu sudah tiada selepas diambil oleh pemaju, dan petempatan mereka pula dipecahkan supaya mereka tidak dapat bersatu.

“Orang Melayu yang dulu duduk di kampung Melayu diagih-agihkan supaya mereka tidak boleh bersama. Letak dua orang di kampung itu, dua orang di flat lain, jadi mereka sekarang ini tak ada kumpulan, tak ada pemimpin pun.

“Inilah yang akan berlaku di Malaysia jika jadikan Singapura sebagai contoh,” katanya lagi.

Mahathir turut menegaskan bahawa walaupun pembaharuan perlu dilakukan, namun penduduk asal tidak boleh dipinggirkan. Beliau mendedahkan bahawa ketika menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018, beliau telah membekukan segala projek di Kampung Sungai Baru dan meminta ganti rugi munasabah untuk tanah yang diambil.

“Saya minta supaya ganti rugi munasabah, jumlah satu kaki persegi dijual pada harga RM3,000. Kalau pemaju beli RM3,000 kaki persegi, mampulah mereka beli rumah mewah kalau didirikan,” katanya lagi.

Dengan amaran terbaharu Mahathir ini, timbul persoalan sama ada kerajaan benar-benar mampu melindungi hak pemilik tanah Melayu di bandar atau sekadar memberi jaminan kosong seperti yang didakwa beliau. – MADANINEWS

KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews