38,389 pelajar baru UiTM mendaftar masuk sesi akademik Mac 2025 | Madani News

38,389 pelajar baru UiTM mendaftar masuk sesi akademik Mac 2025

38,389 pelajar baru UiTM mendaftar masuk sesi akademik Mac 2025

SERAMAI 38,389 pelajar baharu melapor diri pada hari pertama pendaftaran sesi akademik Mac 2025 di kampus-kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) seluruh negara, hari ini.

Jumlah tersebut merangkumi lebih 118,000 pelajar UiTM yang turut mendaftar masuk ke kolej kediaman melalui pendaftaran selama dua hari membabitkan pelajar baharu dan lama di semua kampus induk dan cawangan UiTM di seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi, proses pendaftaran berjalan lancar hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan kolej, sukarelawan pelajar serta sokongan teknikal dan logistik daripada jabatan-jabatan terbabit.

“Komitmen dan semangat mereka amat membanggakan,” katanya ketika ditemui di UiTM Shah Alam, hari ini, memetic laporan BH Online.

Dalam pada itu, Mohd Sazili turut menasihatkan pelajar baharu untuk memanfaatkan peluang menimba ilmu di UiTM dengan penuh disiplin dan iltizam, di samping tidak melupakan harapan dan pengorbanan ibu bapa serta keluarga.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib dalam kenyataannya, turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada pelajar baharu serta mengalu-alukan kepulangan mahasiswa lama ke kampus.

“Semester baharu hadir bersama semangat baharu. UiTM sentiasa mendokong aspirasi pelajar untuk cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah turut menyerlah dalam sahsiah dan kepimpinan.

“Kami percaya kehadiran pelajar-pelajar ini akan terus menyemarakkan budaya ilmu di kampus,” katanya.

Katanya, pendaftaran pelajar kolej kediaman turut menjadi permulaan kepada pelbagai program orientasi dan suaikenal yang disusun bagi membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.

“UiTM terus memperkukuh peranan sebagai institusi pendidikan tinggi terbesar di Malaysia, berlandaskan misinya dalam memperkasakan Bumiputera melalui pendidikan berkualiti dan inklusif,” katanya. – MADANI NEWS