Amanah beri sokongan padu calon BN PRK Ayer Kuning

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan komitmen penuh untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd Sany Hamzan, sokongan tersebut adalah selaras dengan semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan serta kemajuan negeri Perak dan negara secara keseluruhannya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat berkata, bagi menghadapi PRK berkenaan, Amanah telah membentuk Jawatankuasa Induk yang diketuai oleh Naib Presiden parti, Datuk Dr. Hatta Ramli.
“Manakala saya sendiri telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Induk,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Sany berkata, jentera parti telah berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya untuk menggerakkan kempen secara besar-besaran, termasuk membawa masuk bantuan daripada luar negeri.
“Mobilisasi besar-besaran melibatkan jentera daripada seluruh negeri termasuk pasukan dari luar Perak akan digerakkan ke Ayer Kuning bagi membantu kempen dan gerak kerja pilihan raya,” katanya.
Jelasnya, walaupun Amanah pernah bertanding di kawasan berkenaan sebelum ini, parti itu akur dengan semangat perpaduan dan akan memberi sokongan penuh kepada calon rakan sekutu.
“Namun kali ini, sebagai tanda kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan, Amanah akan memastikan seluruh jentera dan penyokong parti turun padang bagi memenangkan calon BN di PRK DUN Ayer Kuning,” katanya.
Tambah Mohd Sany, Amanah yakin kerjasama erat dalam Kerajaan Perpaduan akan terus memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan sedia ada. – MADANI NEWS