“Anak siapa pun tak kebal” – Asyraf tolak rayuan kes buli MRSM

PENGERUSI MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menegaskan bahawa tiada ruang kompromi terhadap pelajar yang terlibat dalam kegiatan buli di institusi pendidikan di bawah seliaan agensi itu.
Beliau berpegang teguh kepada pendirian bahawa mana-mana pelajar yang terbukti melakukan kesalahan berat seperti membuli akan disingkirkan, tanpa mengira latar belakang keluarga atau pengaruh yang dimiliki.
“Tiada istilah peluang kedua. Tidak kira anak siapa – sama ada Tan Sri, Datuk, atau anak individu berpengaruh – jika terlibat dalam kes buli, tindakan tegas dan keras akan diambil. Tidak perlu cari jalan untuk berjumpa saya bagi merayu. Pejabat saya tidak akan melayan pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” tegasnya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Kenyataan itu hadir susulan insiden buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pulau Pinang, yang videonya tular semalam. Menurut Asyraf, Jawatankuasa Disiplin MRSM telah mencadangkan supaya tujuh pelajar yang terlibat ditamatkan pengajian – dua pelajar dikenal pasti sebagai pelaku buli fizikal, manakala lima lagi bersubahat.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis turut mengesahkan pembukaan fail siasatan dan akan memanggil kesemua pelajar terbabit untuk dirakam keterangan.
Asyraf memaklumkan beliau telah berbincang dengan Ketua Pengarah MARA bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang. Antara cadangan yang diketengahkan termasuk penempatan warden asrama sepenuh masa di semua MRSM.
Menurutnya, warden yang dilantik melalui proses temu duga serta penilaian holistik itu akan terdiri daripada kalangan pesara tentera atau polis yang mempunyai disiplin tinggi, dan mampu memantau sahsiah serta perkembangan peribadi pelajar secara lebih menyeluruh. – MADANI NEWS