BN diramal kekal kuasai DUN Ayer Kuning - ILHAM Centre | Madani News

BN diramal kekal kuasai DUN Ayer Kuning – ILHAM Centre

BN diramal kekal kuasai DUN Ayer Kuning – ILHAM Centre
BN yang diwakili Yusri Bakir dilihat mempunyai kelebihan berbanding PN dan PSM untuk memenangi PRK DUN Ayer Kuning.

KUALA LUMPUR – Kajian ILHAM Centre mendapati Barisan Nasional (BN) secara relatifnya tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Pilihan Raya Kecil (PRK) esok.

Ramalan itu adalah berdasarkan pemerhatian firma penyelidikan berkenaan sepanjang tempoh dua minggu kempen PRK berkenaan.

Menurut ILHAM Centre, persoalan utama ialah sejauh mana kerjasama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sokongan pengundi untuk mencapai sasaran majoriti tinggi iaitu 18,000 undi yang diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Sasaran ini memberi tekanan langsung kepada jentera kempen BN dan PH untuk membuktikan keberkesanan kerjasama melalui keputusan hari pengundian, walaupun majoriti responden berpendapat sasaran tersebut sukar dicapai,” katanya dalam laporan kajian PRK DUN Ayer Kuning, hari ini.

Laporan tersebut disediakan oleh panel penyelidikan ILHAM Centre yang terdiri daripada Pengarah Eksekutif, Hisommudin Bakar; Ketua Penyelidikan, Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal; Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim dan Felo Penyelidik, Mujibu Abd Muis.

Sementara itu, kata ILHAM Centre, fokus utama Perikatan Nasional (PN) adalah mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Katanya, jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar.

“PRU lalu menyaksikan PN berjaya menguasai empat pusat daerah mengundi (PDM) majoriti Melayu di Ayer Kuning, sekali gus mencabar dominasi tradisi UMNO.

“Justeru, PRK kali ini menjadi medan penting menentukan sama ada PN mampu mempertahankan prestasi tersebut atau kembali kehilangan cengkaman kepada BN,” jelasnya.

Secara keseluruhan, ILHAM Centre merumuskan, PRK DUN Ayer Kuning merupakan penanda aras kritikal bagi menilai keberkesanan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pengaruh sebenar PN dalam kalangan pengundi muda Melayu, serta sejauh mana faktor peribadi calon mempengaruhi keputusan pengundian dan hala tuju politik setempat menjelang pilihan raya akan datang. – MADANI NEWS

KLIK untuk baca laporan penuh ILHAM Centre.