Cadangan pajakan kepada penceroboh tanah kerajaan beri isyarat songsang – MCW

KUALA LUMPUR – Cadangan memberi pajakan 30 hingga 60 tahun kepada pihak yang menceroboh tanah kerajaan, meskipun beralasankan hasil ekonomi, adalah satu isyarat songsang yang membahayakan prinsip keadilan dan integriti negara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya menzahirkan kebimbangan serius terhadap cadangan penyelesaian isu kebun durian Musang King yang ditanam secara haram di atas tanah kerajaan di Raub, Pahang.
“MCW menolak sebarang bentuk pemutihan atau pemajakan tanah yang akan memberi ganjaran kepada penceroboh dan menghalalkan jenayah pentadbiran tanah.
“Pencerobohan tanah kerajaan adalah perbuatan salah laku yang melanggar undang-undang dan mencerminkan kelemahan dalam penguatkuasaan serta pentadbiran tanah,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Jelas beliau, memberikan ganjaran kepada penceroboh melalui pajakan atau pemutihan adalah satu bentuk normalisasi jenayah yang membuka pintu kepada lebih banyak pencerobohan pada masa hadapan.
“Penyelesaian sebegini adalah precedent yang merosakkan, menjadikan perlanggaran undang-undang sebagai satu jalan pintas kepada pemilikan sah.
“Kerajaan negeri harus sedar bahawa tanah adalah amanah rakyat, bukan alat tawar-menawar kepada penjenayah tanah demi keuntungan jangka pendek.
“Ini juga membuka ruang luas kepada rasuah, manipulasi pentadbiran dan rundingan tidak telus yang hanya menguntungkan pihak tertentu,” katanya.
Menurut Jais, MCW dengan tegas menggesa agar tindakan undang-undang diambil segera terhadap semua penceroboh tanah kerajaan tanpa sebarang kompromi.
Selain itu, katanya, audit menyeluruh terhadap status tanah-tanah yang telah diceroboh serta proses pentadbiran yang mencurigakan perlu dilakukan, di samping memastikan ketelusan dan penglibatan awam dalam sebarang rundingan penyelesaian.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan salah guna kuasa, selain pengukuhan penguatkuasaan serta dasar kawalan pemilikan tanah bagi mengelak eksploitasi berulang.
“MCW berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang tidak boleh dikompromi, dan keuntungan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan kejahatan.
“Negara akan gagal jika undang-undang tunduk kepada tekanan politik, ekonomi atau kepentingan peribadi,” katanya. – MADANI NEWS