“Helang Samudera” diangkat sebagai perisai maritim negara - dedikasi buat wira APMM | Madani News

“Helang Samudera” diangkat sebagai perisai maritim negara – dedikasi buat wira APMM

“Helang Samudera” diangkat sebagai perisai maritim negara – dedikasi buat wira APMM

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakar sejarah tersendiri hari ini apabila melancarkan sebuah buku istimewa bertajuk “Helang Samudera: Perisai Maritim Negara” sempena ulang tahun ke-20 penubuhannya.

Majlis peluncuran penuh istiadat itu menjadi lebih bermakna apabila Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan pelancaran buku berkenaan – sebagai simbol sokongan dan keprihatinan baginda terhadap peranan strategik Maritim Malaysia dalam mempertahankan perairan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan penerbitan naskhah tersebut sebagai satu penghormatan besar buat wira-wira maritim negara yang telah berkhidmat selama dua dekad.

“Buku ini bukan sekadar dokumentasi sejarah, tetapi sebuah khazanah berharga yang memaparkan keberanian, kecekalan dan dedikasi anggota APMM dalam menangani jenayah rentas sempadan, pencerobohan perairan serta operasi menyelamat berisiko tinggi,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Helang Samudera merupakan buku berformat ‘coffee table’ setebal 180 muka surat yang sarat dengan naratif visual berkualiti tinggi, kisah-kisah operasi sebenar dan momen dramatik yang jarang dikongsikan kepada umum.

Antara bab menarik dalam buku ini termasuk sejarah penubuhan Maritim Malaysia, kejayaan rampasan kapal penyeludup, pelaksanaan misi CARILAMAT, penggunaan teknologi pemantauan canggih serta latihan berterusan yang membentuk ketangkasan anggota di lapangan.

Buku ini turut menyorot kerjasama strategik Maritim Malaysia dengan agensi antarabangsa seperti US Coast Guard, Interpol, Australia Border Force (ABF), serta rakan serantau dari Indonesia, Thailand dan Filipina — satu jaringan penting dalam memastikan kestabilan perairan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini.

Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas kesedaran awam terhadap peranan penting Maritim Malaysia, buku ini akan diedarkan ke perpustakaan seluruh negara serta institusi pendidikan dari sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi. Naskhah ini juga akan dihantar ke agensi sahabat dalam dan luar negara sebagai simbol kerjasama dan perkongsian ilmu dalam bidang keselamatan maritim.

Lebih daripada sekadar dokumentasi sejarah, Helang Samudera diangkat sebagai sumber rujukan penting dan inspirasi buat generasi muda untuk memahami dan menghargai usaha mempertahankan kedaulatan perairan negara.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews