Individu dakwa Negaraku dinyanyi dalam bahasa Cina alami ‘bebalisme’ – Fadhlina turut gesa tolak pempengaruh sumbang

MENTERI Pendidikan Fadhlina Sidek menyindir seorang aktivis yang membuat dakwaan salah bahawa pelajar sebuah sekolah lagu Negaraku dalam bahasa Cina kerana tidak tahu membezakan antara lagu kebangsaan dan lagu negeri Perak
Fadhlina berkata aktivis yang membuat dakwaan memalukan itu menunjukkan dia mengalami “penyakit bebalisme”.
“…Penyakit bebalisme yang ditunjukkan oleh seorang yang mendakwa dirinya adalah pempengaruh politik adalah sangat memalukan.
“Mengapa bebalisme? Pertama, memfitnah. Kedua, tidak tahu membedakan lagu Negaraku dan lagu negeri Perak.
“Ketiga, tidak punya rasa malu menyebarkan fitnah. Keempat, langsung tidak bertanggungjawab dengan fitnah dan kebebalan yang disebarkan. Kelima, langsung jahil tentang sejarah lagu negeri,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Kenyataan Fadhlina itu ditujukan kepada Syarul Ema Rena Abu Samah, yang lebih dikenali sebagai Ratu Naga, yang membuat dakwaan tersebut dua hari lalu.
Syarul Ema berkata dia telah memadam video itu hanya selepas 10 minit memuat naiknya di media sosial, namun menuduh “laskar siber PH” memuat turun kandungan itu dan menularkannya.
Dia turut memohon maaf atas dakwaan yang dibuat dan berkata dia tidak memahami “bahasa pelat”.
Kata Fadhlina lagi, usaha untuk mengangkat martabat negara harus dilakukan melalui ilmu, bukan dengan “bebalisme”.
Beliau turut menegaskan keperluan melindungi kanak-kanak daripada pengaruh individu yang menyebarkan unsur negatif, sambil menggalakkan mereka untuk belajar, memahami, dan saling mendukung antara satu sama lain.
“Kita harus segera mengambil tanggungjawab mengepung anak-anak kita dengan menolak pempengaruh yang sumbang dan jelik,” katanya lagi. – MADANI NEWS