Isu 3R: Dua individu termasuk pempengaruh politik disiasat SKMM | Madani News

Isu 3R: Dua individu termasuk pempengaruh politik disiasat SKMM

Isu 3R: Dua individu termasuk pempengaruh politik disiasat SKMM
Seorang pempengaruh politik diambil keterangan di Ibu Pejabat SKMM Cyberjaya, hari ini. Gambar: Ihsan SKMM

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu yang didapati telah memuat naik kandungan palsu dan jelik melampau berunsur perkauman, agama dan institusi diraja (3R) di platform Facebook dan TikTok.

Menurut SKMM, sesi rakaman percakapan terhadap mereka dijalankan di Ibu Pejabat SKMM di sini hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

“Salah seorang daripada dua individu tersebut merupakan pempengaruh dan aktivis politik yang menimbulkan sentimen perkauman di media sosial melibatkan lagu kebesaran negeri Perak, penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad, serta tentang pengambilalihan Menara Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SKMM menambah, kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Jelas suruhanjaya itu, sebanyak satu unit telefon bimbit dan satu kad sim milik seorang suspek telah disita bagi tujuan analisis forensik.

Tambahnya, manakala bagi seorang lagi suspek, telefon bimbitnya telah pun disita oleh Polis Diaja Malaysia (PDRM) bagi siasatan atas kesalahan yang berlainan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah, dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini,” katanya. – MADANI NEWS