Kes abang belon, DBKL: Polis tunggu laporan penuh perubatan | Madani News

Kes abang belon, DBKL: Polis tunggu laporan penuh perubatan

Kes abang belon, DBKL: Polis tunggu laporan penuh perubatan

POLIS sedang menunggu laporan perubatan penuh daripada Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, berhubung kecederaan dialami oleh seorang peniaga belon selepas terlibat dalam insiden pergelutan dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 28 Mac lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa hari ini berkata setakat ini pihaknya hanya menerima laporan awal perubatan daripada pihak hospital yang mengesahkan peniaga belon itu mengalami kecederaan keretakan.

“Laporan perubatan penuh tidak siap lagi…kita jangka laporan penuh akan diperolehi dalam tempoh 30 hari,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata polis telah menerima satu laporan yang dibuat oleh peniaga berkenaan pada 11.50 pagi semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, dan semakan mendapati isi laporan yang dibuat adalah konsisten dengan keterangan direkodkan sebelum ini susulan laporan polis dibuat oleh ibunya pada 29 Mac lepas.

“Laporan polis itu diklasifikasikan sebagai ‘refer to other report’ (dirujuk kepada laporan terdahulu) dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan,” katanya memetik laporan Bernama.

Rusdi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam menjalankan tugas), Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 325 Kanun Keseksaan, bagi siasatan kes berkenaan.

“Siasatan oleh pihak polis sudah selesai dengan kertas siasatan lengkap telahpun diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada 2 dan 4 April lepas.

“Kita sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak DPP untuk tindakan seterusnya,” jelasnya.

  • MADANI NEWS